Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Negeri Perak secara Kerjasama Awam Swasta telah ditandatangani pada hari ini oleh YBhg. Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KeTSA yang mewakili Kerajaan Persekutuan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mewakili Kerajaan Negeri Perak dan Tuan Syed Azmin Syed Nor, Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn. Bhd. selaku syarikat konsesi bagi projek ini.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YAB Dato’ Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan Encik Nigel Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Tegap Sdn. Bhd. Majlis telah diadakan secara maya di mana ketiga-tiga pihak berada di lokasi masing-masing.
Sistem e-Tanah merupakan projek oleh Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah yang bersepadu di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Pembangunan sistem di bawah inisiatif Kerjasama Awam Swasta ini juga seiring dengan usaha Kerajaan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Sistem e-Tanah Negeri Perak ini dijangka akan Go-Live pada 11 Februari 2021 dan akan digunapakai oleh semua pentadbiran tanah negeri bermula pada tarikh tersebut. Melalui Sistem e-Tanah ini, orang awam yang berurusan di pentadbiran tanah Negeri Perak akan dapat menikmati urusan transaksi tanah yang lebih lancar, telus, efektif dan mesra rakyat.