Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara (TIM 2021-2030)
22 April 2021

​​​​Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri pada hari ini, 22 April 2021.

Kerangka Pelan TIM 2021-2030 bertujuan untuk mengarusperdana pengurusan industri mineral bagi mencapai pembangunan mampan dan mengukuhkan asas ekonomi dengan menjadikan sumber mineral sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam ucapannya menyatakan bahawa kerangka pelan TIM 2021-2030 adalah bersifat terangkum, di mana KeTSA mensasarkan pembangunan industri secara menyeluruh serta bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

Lima objektif teras utama Kerangka Pelan TIM 2021-2030 merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, inventori dan pemetaan sumber mineral, teknologi dan inovasi dan pembangunan modal insan.

Pelan TIM 2021-2030 tersebut, mensasarkan industri mineral di Malaysia akan berkembang dalam rantaian nilai yang lengkap dari peringkat huluan hingga hiliran terutama bagi mineral-mineral strategik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Hadir sama dalam majlis pelancaran adalah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri M.Saravanan; Menteri Sumber Manusia; Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KeTSA.​





Attachments