LAWATAN KERJA MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI KE LOKASI KEJADIAN GEOBENCANA DI KEMENSAH HEIGHTS
21 September 2021

19 September - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, telah mengadakan lawatan kerja ke Kemensah Heights, Hulu Kelang, Ampang, Selangor hari ini untuk meninjau kesan kerosakan di lokasi bencana geologi tanah runtuh di sekitar kawasan perumahan Kemensah Heights yang berlaku pada 17 September lalu.

Dalam lawatan yang diaturkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ini, didapati bahawa kejadian tersebut melibatkan seramai 28 keluarga yang mendiami rumah teres dua tingkat, dan penduduk yang terjejas telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Walaubagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dari kejadian geobencana ini.

Pada ketika ini, JMG sedang menjalankan pemeriksaan dan kajian lebih teliti yang melibatkan pemetaan geologi dan siasatan tapak (site investigation) serta menyediakan laporan bagi penilaian tahap keselamatan di kawasan tersebut. Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard Di Kawasan Zon Bencana Tanah Runtuh (JMG. SOP.01).

Hadir bersama Encik Hisamuddin bin Termidi, Ketua Pengarah JMG dan Encik Mohd Zulkiflee bin Che Soh, Pengarah JMG Selangor/Wilayah Persekutuan serta pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

YB Menteri turut diberi taklimat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenai kerja-kerja yang dilaksanakan di kawasan kejadian bencana. Turut bersama semasa taklimat tersebut adalah agensi-agensi teknikal yang lain iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).​​



 


Attachments