3 Disember - Kerajaan Selangor hari ini memeterai perjanjian bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), berserta Puncak Tegap Sdn Bhd (PTSB) sebagai syarikat konsesi pelaksanaan sistem pentadbiran tanah secara eletronik (e-Tanah), di pejabat tanah dan galian dan pejabat daerah dan tanah negeri Selangor.
Perjanjian tersebut dimeterai Ketua Setiausaha KeTSA Datuk Zurinah Pawanteh sebagai wakil kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Eksekutif PTSB Syed Azmin Syed Nor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Datuk Seri Takiyuddin dalam ucapannya berkata dengan termeterainya perjanjian tersebut, proses pembangunan sistem e-Tanah akan dimulakan di pentadbiran tanah negeri, dan berdasarkan perancangan sistem tersebut akan selesai dibangunkan serta dapat diguna pakai pada 2023.
Sistem e-Tanah dilaksana bagi memastikan penyeragaman pelaksanaan pentadbiran tanah di negeri-negeri mengikut perundangan yang berkuat kuasa, bertujuan untuk meningkatkan ketelusan serta mencegah ketirisan di setiap peringkat pentadbiran tanah dalam sesebuah negeri.
Dengan termeterainya Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Negeri Selangor, pembangunan bagi Sistem e-Tanah akan dimulakan di pentadbiran tanah Negeri Selangor dan dijangka selesai dibangunkan serta dapat diguna pakai pada tahun 2023.