3 Disember 2021 - Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah PERHILITAN, YBhg. Datuk Abdul Kadir bin Abu Hashim dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar pada hari ini.
Majlis disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin.
Kerjasama strategik dengan FAM yang sinonim dengan Harimau Malaya dilihat dapat mengukuhkan lagi usaha-usaha sedia ada Kerajaan melalui Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan penglibatan dan kesedaran masyarakat, di samping dapat meningkatkan imej pasukan bola sepak kebangsaan sebagai pasukan yang prihatin terhadap spesies ikonik negara.