Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar menegaskan bahawa walaupun Moratorium Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit di Kuantan, Pahang bakal berakhir pada 31 Mac 2019, ia tidak bermakna aktiviti perlombongan dibenarkan pada 1 April 2019.
Beliau berkata, arahan pemberhentian operasi perlombongan hanya akan ditarik balik setelah semua pihak berkepentingan bersedia melaksana dan menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang bagi menjamin aktiviti tersebut dilaksanakan secara mampan.
KATS telah mengambil tindakan memantapkan SOP yang akan mengenakan syarat ketat merangkumi seluruh rantaian aktiviti perlombongan bermula di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk pelan pemulihan, pengendalian logistik dan stockpile di pelabuhan.
Tindakan ini dilaksanakan demi memelihara kemampanan industri perlombongan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta perlindungan alam sekitar. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan kelulusan Operational Mining Scheme (OMS) kepada Pemegang Pajakan Melombong/Lesen Melombong sehingga semua syarat OMS dipenuhi terutamanya EIA yang diwajibkan.

