Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia menganjurkan Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2019 dan Pra-Pelancaran Kempen “Selamatkan Harimau Malaya” 2019 - 2020 di MyTown, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada hari ini.
Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia Peringkat Kebangsaan memberi fokus kepada konservasi Harimau Malaya bagi memantapkan penglibatan semua pihak dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan.
Harimau Malaya merupakan haiwan ikonik yang menjadi kebanggaan dan warisan negara. Harimau Malaya turut menjadi lambang Jata Negara.
Populasi Harimau Malaya berada di tahap yang sangat membimbangkan. Sehingga kini, bilangan Harimau Malaya yang direkodkan di Malaysia adalah kurang daripada 200 ekor. Sekiranya tindakan drastik tidak diambil, Malaysia akan kehilangan spesies Harimau Malaya buat selama-lamanya.
Bagi menunjukkan komitmen dalam menangani kepupusan Harimau Malaya, Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN menjadikan usaha menyelamatkan Harimau Malaya sebagai agenda nasional dan mengisytiharkan perang terhadap penceroboh dan pemburu haram hidupan liar.
Usaha menyelamatkan Harimau Malaya akan dipertingkatkan melalui Tiger Protection and Patrolling Programme (TP3) yang melibatkan kerjasama strategik antara Jabatan PERHILITAN, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Aktiviti rondaan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan (boots on the ground) di habitat utama Harimau Malaya. Di samping itu, task force yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan telah ditubuhkan dan beroperasi bagi membanteras jenayah siber hidupan liar.
Sementara itu, Majlis Perasmian Kempen “Selamatkan Harimau Malaya” 2019 - 2020 pula dijadualkan pada 29 Julai 2019 bersempena dengan Sambutan Hari Harimau Sedunia. Kempen akan dilaksanakan sepanjang tahun 2019 hingga 2020 melalui pelbagai program termasuk program konservasi dan penguatkuasaan, kesedaran awam, pengukuhan dana dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).