Lawatan YB Menteri KATS bersama YAB Menteri Besar Kedah ke Loji Rawatan Air Tupah
23 March 2019

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr. Xavier Jayakumar bersama YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Tupah pada hari ini. Turut sama sertai ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga YB Tuan Zamri Yusuf, Ketua Setiausaha, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, YBhg Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah, Jabatan Saliran dan Pengairan Malaysia, YBhg Dato’ Ir. Dr. Hj. Md. Nasir Md. Noh.

Pihak Kementerian memberi perhatian serius terhadap krisis bekalan air yang telah melanda kawasan Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun berikutan cuaca panas kering yang sedang melanda Negeri Kedah. Kementerian melalui agensinya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah menyelaras misi bantuan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas yang dibantu oleh operator-operator air daripada Negeri Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.

KATS melalui Jabatan Mineral dan Geosains juga telah mengambil langkah segera untuk melaksanakan pembinaan telaga tiub daripada sumber air bawah tanah sebagai sumber bekalan air tambahan kepada sumber sedia ada. Di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan dua projek bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan Merbok dan Tanjung Dawai iaitu menaiktaraf Loji Rawatan Air Tupah dan Merbok dan kerja-kerja penggantian paip di kawasan Tanjung Dawai dengan kos hampir RM70 juta. Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan sepuluh projek sumber dan bekalan air dengan siling projek keseluruhannya berjumlah RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke 11.

 
 




Attachments