YB. Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan YAB Dato’ Seri Mukhriz Bin Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman telah menyempurnakan bersama Majlis Pelancaran Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2019 Peringkat Kebangsaan bertempat di Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah pada hari ini.
Sambutan yang bertemakan “Leaving No One Behind” adalah merupakan anjuran bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan juga Kerajaan Negeri.
Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993 bertujuan bagi meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu-isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia. Bagi memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), yang dilancarkan pada 2015 oleh United Nation, iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030, menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar.
Selaras dengan tema sambutan, Kerajaan melalui KATS sentiasa berusaha untuk memastikan sumber air mencukupi dan selamat untuk diminum disamping memastikan bekalan air diterima oleh semua sektor pengguna iaitu domestik, industri, pertanian, penternakan dan perikanan.
Antara program - program yang diadakan bersempena Sambutan Hari Air Sedunia 2019 di Pantai Merdeka, Kedah ialah:-
i. Anugerah Tesis Terbaik kepada siswazah institusi pengajian tinggi;
ii. Anugerah Khas Sumber Air kepada Komuniti;
iii. Pertandingan mewarna dan melibatkan kanak-kanak sekolah;
iv. Fun Run, Pertandingan memancing, Pertandingan Tarik Tali, Petandingan Tangkap Itik dan Pertandingan Pukul Bantal, dan
v. Pameran Kebangsaan melibatkan pelbagai agensi dan Badan Bukan Kerajaan.
Program-program lain yang turut dirancang bersempena Hari Air Sedunia sepanjang tahun 2019 adalah:-
i. Khutbah Jumaat bertemakan Leaving No One Behind dengan kerjasama pihak JAKIM.
ii. Kem Pemimpin Muda Prihatin Air UNESCO-IHP Malaysia Peringkat Kebangsaan yang melibatkan wakil pelajar sekolah menegah di seluruh Malaysia yang telah diadakan pada 2-4 April 2019, di Putrajaya, dan
iii. Seminar Minister Dialogue
Semua pihak, khususnya Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta jabatan/agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber air perlu bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu dan semua pihak berkepentingan perlu memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air negara ini secara lestari bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.