YB Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengadakan lawatan kerja Ladang Eucalyptus, Bukit Sapi, Lenggong, Perak pada 7 April 2019. Turut serta sewaktu lawatan tersebut ialah Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KATS dan beberapa orang pegawai Kedutaan Asing di Malaysia.
Lawatan ke Ladang Eucalyptus bertujuan untuk melihat kebolehlaksanaan usaha memulihara kawasan ladang terbiar melalui penanaman pokok Eucalyptus memandangkan anggaran pulangannya yang menarik. Ia juga bertujuan untuk melihat potensi pokok Eucalyptus sebagai salah satu spesies yang ditanam melalui Program Pembangunan Ladang Hutan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
Tempoh pulangan yang dijangkakan singkat iaitu antara tujuh hingga ke lapan tahun menjadikan ianya satu peluang yang baik untuk para pelabur. Disebabkan faktor tersebut, ianya berpotensi untuk dijadikan sebagai spesies tanaman ladang hutan di masa akan datang di Semenanjung Malaysia.
Pada masa ini FRIM telah mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pengilang Produk Panel Malaysia (MPMA) melalui sebuah memorandum persefahaman untuk menghasilkan anak pokok kultur tisu Eucalyptus sp. dan spesies bernilai komersial bagi tujuan perladangan. Melalui kerjasama ini juga, FRIM akan mempromosi dan menyokong program perladadangan komuniti MPMA termasuklan bagi spesies Eucalyptus dan akan membekalkan kepakaran serta bantuan teknikal jika diperlukan.
