Menteri KATS arah siasatan kes paip pecah di Klang
07 May 2019

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli YB. Dr Xavier Jayakumar telah mengarahkan siasatan terperinci terhadap kes paip pecah di Klang berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Ketika melakukan lawatan ke tapak paip yang pecah petang tadi, YB. Menteri berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan dipertanggungjawabkan untuk menyiasat punca paip-paip tersebut pecah. Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Mineral dan Geosains pula akan ditugaskan untuk memantau bentuk muka bumi dan pergerakan tanah di kawasan tersebut.

YB. Menteri menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan supaya bekalan air dapat dipulihkan seperti sediakala, lebih-lebih lagi kerana ianya berlaku pada bulan puasa.

Dalam masa yang sama, jaminan keselamatan perlu juga diberi keutamaan buat pekerja-pekerja yang terlibat dalam proses pembaikan di tapak.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi air melalui saluran rasmi Air Selangor.

Semoga mereka yang terlibat terus tabah dalam menghadapi situasi ini.

 

 



Attachments