YB Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, Timbalan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) Ke-32 Tahun 2019, di sini pagi ini. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Borhanudin Bin Hj. Arshad, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Seramai 78 orang graduan telah berjaya menamatkan pengajian mereka pada sesi kali ini. Bagi para graduan lepasan FORTRAIN yang berjaya menamatkan pengajian, mereka bukan sahaja berpeluang membina kerjaya di Jabatan Perhutanan tetapi juga dapat meninjau peluang pekerjaan di dalam sektor swasta dan agensi-agensi yang berkaitan dengan perhutanan, alam sekitar, landskap, pelancongan dan penyelidikan.
Majlis Penganugerahan pada hari ini turut menyaksikan seramai 30 orang pelatih daripada Sarawak bagi pengambilan pelatih Sesi 2018-2019 menerima sijil tamat pengajian mereka. Ia merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang telah dimeterai pada 25 Mac 2017.
Bagi memastikan pelatih-pelatih dapat menjalani kehidupan yang selesa serta menjalani proses pengajaran dan pembelajaran secara efektif pada masa akan datang, dua buah blok asrama baru di FORTRAIN dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta akan turut dibina. Kerja-kerja awalan seperti pengukuran tapak, penyiasatan tanah dan lain-lain kerja berkaitan sedang dijalankan.
JPSM juga ke arah mendapatkan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia [Malaysian Qualifications Agency (MQA)] yang merupakan pengiktirafan rasmi kepada sijil, diploma atau Ijazah yang dikeluarkan institute-institut pengajian tinggi dan selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.
JPSM juga sedang mendapatkan akreditasi bagi Sijil Perhutanan Pengawas Hutan dan menaiktaraf Sijil Perhutanan Pengawas Hutan ke Diploma Renjer Hutan. Bagi menambah baik tenaga kerja di FORTRAIN, staf akademik perlu mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Sarjana Muda dalam bidang berkaitan. seperti mana keperluan oleh pihak MQA .
JPSM turut melancarkan Dokumen Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Arahan Kerja JPSM bagi menambahbaik serta memantapkan lagi Proses Kerja berkaitan aktiviti pengusaha hasilan hutan seiring dengan keperluan semasa dan penggunaan teknologi pada masa kini. Ia dijangka mampu memenuhi aspirasi warga JPSM dalam melaksanakan tugas harian sama ada di pejabat mahupun di lapangan serta memastikan JPSM terus kekal relevan dalam pengurusan sektor perhutanan negara.

