Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

10 March 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

65

Soalan

Dato' Dr. Nik Mazian bin Nik Mohamad [ Pasir Puteh ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk membasmi pencemaran alam sekitar dan aktiviti yang menjejaskan ekosistem seperti isu bauksit dan penebangan pokok terlalu banyak untuk keuntungan dan pembangunan hartanah komersial.

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli yang Berhormat dan Ahli Dewan yang mulia ini, Kementerian amat mengambil berat dan memantau isu pencemaran alam sekitar dan juga aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem. Untuk itu, Kementerian telah merancang dan melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:-

 

  1. pengarusperdanaan alam sekitar (environmental mainstreaming) di mana kepentingan alam sekitar diserap, diterap dan diintegrasikan dalam semua peringkat pengurusan dan implementasi projek, program atau aktiviti perindustrian.

     
  2. Melaksanakan pendekatan penguatkuasaan baru secara kawalan kendiri (self-regulation) dengan lebih agresif di kalangan industri dan penggerak projek termasuk mewajibkan adanya orang yang berwibawa dalam melaksanakan pengurusan kawalan pencemaran alam sekitar.

     
  3. Melaksanakan pemantauan secara jarak jauh dengan menggunakan sistem applikasi yang telah dibangunkan dan menjalanlan pemeriksaan susulan bagi menentusahkan pelaporan yang dikemukakan.

     
  4. Meningkatkan penglibatan dan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri melalui pelaksanaan MEXCOE (Mesyuarat Exco-Exco Alam Sekitar).

     
  5. Mempertingkatkan penguatkuasaan bersepadu agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk penyaluran maklumat.

     
  6. Meningkatkan kerjasama dan rundingan di peringkat antarabangsa ke arah mencapai pemuliharaan alam sekitar secara holistik.

     
  7. Memperkemaskan pencegahan dan kawalan pencemaran melalui peruntukan undang-undang sediada di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan kekal relevan dengan keperluan semasa.

     
  8. Meneruskan dan mempelbagaikan program-program kesedaran yang meliputi pelbagai golongan sasaran bagi mempertingkatkan komitmen semua pihak dalam menjaga alam sekitar.

     

    Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan langkah-langkah bagi mengawal aktiviti pengusahasilan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal, antaranya termasuklah:-

     

(i)           Penetapan dan pematuhan kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) oleh semua negeri. Kadar penetapan CTT ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri. Setiap Negeri hanya dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti  pengusahasilan hutan pada kadar CTT yang telah ditetapkan;

 

(ii)         Hanya pokok yang matang dan ditanda untuk ditebang sahaja yang boleh diusahahasil. Sementara itu, pokok-pokok yang mempunyai nilai perlindungan seperti pokok ibu, pokok buah-buahan untuk kepentingan hidupan liar dan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai Sangat Terancam, Terancam dan Jarang Ditemui (Endangered, Rare and Threatened-ERT) tidak dibenarkan untuk ditebang. Di samping itu, kawasan-kawasan yang mempunyai nilai perlindungan yang terdapat dalam kawasan pengusahasilan seperti sepanjang zon penampan sungai, kecerunan melebihi 40o, jenut hidupan liar (salt-licks) dan kawasan sensitif alam sekitar dikekalkan;

 

(iii)        Jabatan juga menetapkan had pengeluaran bagi setiap kawasan yang diusahasil dan had pengeluaran ini perlu dipatuhi oleh pengusaha supaya tidak berlaku pengusahasilan melebihi had pengeluaran; dan

 

(iv)       Pelesen disyaratkan supaya menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan sebelum lesen pengusahasilan hutan dikeluarkan. Rancangan Mengusahasil Hutan hendaklah disahkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri.

Kementerian juga sedang menyemak semula dan menambahbaik semua peraturan / prosedur / garis panduan yang melibatkan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dan akan digunapakai selepas tempoh moratorium tersebut tamat. Prosedur / garis panduan ini akan meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan di tempat pengekstrakan bauksit, pengangkutan, pengurusan stockpile di dalam dan luar pelabuhan dan prosedur pengeluaran Permit Eksport (AP) bagi bauksit. Langkah-langkah ini akan dapat mengawal pencemaran alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

 

Attachments