Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengadakan bengkel pada 27 - 29 Januari 2016 bagi menyemak semula semua peraturan / prosedur / garis panduan yang melibatkan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit bagi tujuan penambahbaikan dan akan digunapakai selepas tempoh moratorium tersebut tamat. Prosedur / garis panduan ini akan meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan di tempat pengekstrakan bauksit, pengangkutan, pengurusan stockpile di dalam dan luar pelabuhan dan prosedur pengeluaran Permit Eksport (AP) bagi bauksit.
Secara asasnya, draf prosedur / garis panduan / syarat baharu berkaitan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit telah disediakan hasil daripada bengkel yang diadakan dan perbincangan susulan yang dibuat bersama agensi berkaitan. Walau bagaimanapun, beberapa perkara masih di peringkat penyelarasan lanjut terutamanya bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan cadangan-cadangan tersebut dilaksanakan. Pelaksanaan prosedur / garis panduan / syarat baharu tersebut akan menjadikan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit ini lebih teratur, berkesan dan memberikan penekanan terhadap alam sekitar serta kesejahteraan penduduk Kuantan.
Kementerian bersama-sama kerajaan negeri akan berusaha supaya objektif fasa 1 hingga 3 dapat dicapai dalam masa yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, jika berlaku kelewatan kementerian akan mempertimbangkan pelanjutan tempoh moratorium sekiranya perlu.
Sekian, terima kasih.