Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

23 March 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

7

Soalan

Tn Haji Ahmad Nazlan bin Idris [ Jerantut ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan berapakah pusat pembiakan baka hidupan liar yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan hidupan liar tersebut.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Malaysia amat komited dalam memulihara dan memelihara hidupan liar yang merupakan pelengkap kepada kelestarian biodiversiti demi kepentingan fungsi kestabilan ekologi. Sejak tahun 1975, Malaysia telah aktif dalam mengadakan perhubungan antarabangsa dengan negara luar dalam konservasi dan pembiakan hidupan liar. Antara negara antarabangsa yang bekerjasama dengan Malaysia dalam pertukaran dan pinjaman hidupan liar adalah seperti negara Melbourne Zoo, Australia, London Zoo, Halle Zoo Germany dan banyak lagi.

Tanggungjawab Kerajaan dalam konservasi kehidupan liar dizahirkan melalui dasar Kepelbagaian Biodiversiti Negara iaitu pemuliharaan hidupan liar secara in-situ (pemuliharaan di habitat semulajadi) di Taman Negara Pahang, Terengganu dan Kelantan, Taman Negeri Endau Rompin dan Taman Negeri Royal Belum Temenggor, Perak dan ex-situ (pembiakan dalam kurungan). Ia juga selaras dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa iaitu Convention on Biological Diversity (CBD), The Convention on International Trade in Endagered Species of Wild Fauna & Flora dan International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di Semenanjung Malaysia terdapat sebanyak 11 pusat pembiakan hidupan liar yang diuruskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan hidupan liar di semua pusat ini (ex-situ) terjaga, langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut:

i. Memastikan bilangan hidupan liar yang ditempatkan di dalam kurungan memenuhi kapasiti kurungan yang optimum;

ii. Terdapat Doktor Veterinar yang menjalankan rawatan dan pemeriksaan penyakit secara berkala;

iii. Pemberian vitamin, ubat cacing dan garam galian yang diperlukan oleh spesies hidupan liar secara berkala;

iv. Bekalan makanan yang berkualiti dengan jumlah yang mencukupi;

v. Pengurusan husbandari yang baik dipraktikkan di setiap Pusat Konservasi Hidupan Liar;

vi. Penyelenggaraan sangkar kurungan bagi memastikan keselamatan daripada serangan pemangsa;

vii. Pembinaan footbath di pintu masuk utama ke kurungan bagi membasmi kuman/bakteria yang boleh membahayakan hidupan liar; dan

viii. Penyediaan ruang kuarantin bagi mengasingkan hidupan liar yang tidak sihat atau baru dipindahkan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan PERHILITAN sentiasa mengkaji langkah-langkah yang telah diambil dari semasa ke semasa untuk membuat penambahbaikan bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan hidupan liar yang terdapat di setiap Pusat Konservasi Hidupan Liar sentiasa terjamin.

Sekian, terima kasih

Attachments