Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

23 March 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

25

Soalan

Datuk Dr. Ewon Ebin [ Ranau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak Keme​​nterian bagi mengatasi masalah takungan air berasid (Acid Mine Drainage -AMD) di bekas lombong tembaga Mamut, yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan 20,000 orang penduduk setempat sekiranya air tersebut mengalir ke sumber bekalan air mereka atau berlaku kecelakaan alam semula jadi.

Jawapan

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menjalankan Projek Kajian Sistem Perawatan Saliran Air Berasid di bekas lombong tembaga Mamut dengan kerjasama pihak Mine Reclaimation Corporation (MIRECO) dari Korea Selatan di bawah RMKe-10. Projek yang telah dilaksanakan selama 3 tahun daripada 2012 hingga 2015 ini meliputi penentuan kaedah-kaedah sistem perawatan yang optima dan efektif terhadap perawatan saliran air berasid. Hasil daripada kajian yang dijalankan, pihak MIRECO telah mencadangkan opsyen rawatan bagi mengatasi masalah takungan air berasid (Acid Mine Drainage) seperti berikut:

 Sistem perawatan AMD aktif, iaitu melibatkan penggunaan perawatan secara fizikal (mekanikal) dan kimia dengan anggaran kos pembinaan loji rawatan sebanyak RM 40.3 juta serta kos penyelenggaraan sebanyak RM 9.16 juta setahun; atau

 Sistem perawatan AMD semi-aktif (tambahan perawatan menggunakan kaedah semula-jadi (pengoksidaan-pemendakan) dengan kos pembinaan loji rawatan sebanyak RM 32.21 juta dan kos penyelenggaraan sebanyak RM 9.202 juta setahun.

(Nota: Anggaran kadar tukaran 1 USD = RM 4.30)

Hasil kajian juga telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan. Namun, berikutan kekangan kewangan cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Selain itu, JMG turut menjalankan pemantauan kualiti air secara bulanan ke atas beberapa lokasi di dalam kawasan bekas lombong tembaga Mamut yang dikenalpasti bagi memastikan kandungan asid dalam air yang keluar dari kawasan bekas lombong itu terkawal. Pihak JMG juga memantau 3 sungai utama yang mempunyai kaitan dengan kawasan bekas lombong tersebut iaitu Sg Mamut (Kg Poring), Sg Lohan dan Sg Liwagu. Analisa makmal oleh JMG menunjukkan kualiti air serta kuantiti logam berat di sungai-sungai tersebut berada di tahap yang terkawal dan mematuhi piawaian ‘Standard B’ Jadual 3, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sekian, terima kasih.

Attachments