Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

28 March 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

57

Soalan

Tuan Lim Guan Eng [ Bagan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan jumlah kerugian yang ditanggung akibat kejadian jerebu tahun lalu. Apakah status perjanjian rasmi yang ditandatangani dan macam mana ia boleh dilaksanakan untuk mengelakkan bencana tersebut berulang tahun ini serta tindakan oleh Kerajaan Malaysia ke atas syarikat-syarikat yang menyebabkan pembakaran haram di Indonesia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Susulan daripada insiden jerebu yang berlaku pada tahun lalu, Kementerian telah mengambil langkah yang proaktif dengan mengadakan Mesyuarat Bagi Membincangkan Impak Insiden Pencemaran Udara Akibat Jerebu Merentas Sempadan Terhadap Sosio Ekonomi Malaysia pada 2 Februari 2016 bersama 15 Kementerian. Mesyuarat ini telah diadakan bagi membincangkan mekanisme untuk mengenal pasti impak kejadian jerebu pada tahun 2015. Semua kementerian telah memberi maklumbalas, walaubagaimanapun jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pelbagai pihak masih belum dapat dinilai atau ditafsirkan dalam bentuk kewangan.

Di peringkat dua hala, Malaysia dan Indonesia kini sedang memuktamadkan draf Perjanjian Persefahaman (Memorandum of Understanding, MOU) bagi usaha-usaha pencegahan kebakaran tanah dan hutan serta jerebu dengan memberi penekanan kepada program-program pembangunan modal insan (capacity building) dalam bidang penguatkuasaan, undang-undang, pencegahan pembakaran terbuka, pengurusan tanah gambut secara lestari, amalan pembakaran sifar, pemadaman kebakaran dan lain-lain bidang yang perlu dipersetujui secara bersama.

Pada masa kini, pihak Kementerian tidak mempunyai maklumat mengenai syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti oleh Indonesia sebagai terlibat dalam pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa

bersedia untuk berkerjasama dengan Kerajaan Indonesia sekiranya pihak Indonesia dapat mengenal pasti syarikat-syarikat yang terlibat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peruntukan undang-undang bagi mengawal pembakaran terbuka yang menyebabkan masalah jerebu seperti mana yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 hanya terpakai bagi kesalahan yang dilakukan di dalam negara sahaja dan tidak meliputi kesalahan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat milik Malaysia yang beroperasi di luar negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments