Tuan Yang Di-Pertua,
Hutan merupakan khazanah yang penting dan mempunyai nilai tinggi di dalam negara kita. Hutan berfungsi bukan sahaja sebagai sumber komoditi kayu-kayan tetapi juga sebagai fungsi kestabilan ekologi. Pengurusan hutan turut menyumbang kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sosio ekonomi negara. Melalui pengurusan hutan, Kerajaan bukan sahaja komited dalam protokol antarabangsa, malah turut memenuhi keperluan kepada indeks syariah yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Bagi memenuhi tuntutan tersebut, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menerima pakai penggunaan teknologi terkini untuk kerja-kerja pemantauan, penguatkuasaan hutan dan pengemaskinian maklumat-maklumat hutan yang berkaitan. Penggunaan teknologi terkini untuk pemantauan perubahan litupan hutan secara masa nyata (real time) telah memberikan impak besar ke atas aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan.
Penggunaan teknologi bersepadu seperti teknologi Hyperspectral, Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau lebih dikenali sebagai drone dan sistem Geographical Information System (GIS) dengan izin, berjaya membantu pihak kerjaan dalam mengesan dan mengenal pasti perubahan landskap kawasan hutan dengan lebih cepat dan tepat. Penggunaan teknologi terkini dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan ke atas kegiatan pencerobohan hutan, pembalakan tanpa lesen dan lain-
lain kesalahan hutan. Di samping itu, teknologi yang sama dapat membantu dalam mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi berlakunya aktiviti pembalakan haram (hot spot) dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di kawasan tersebut.
Terkini, melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas, Jabatan Hutan Sarawak sedang membangunkan sistem cerapan nyperspectral secara Turnkey untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan operasi pemantauan udara. Sistem ini mempunyai julat operasi (operational range) sebanyak 10 kali ganda iaitu boleh mengesan pada jarak 2000 kilometer. Ini dapat memberi kelebihan kepada pasukan penguatkuasaan untuk membuat pemantauan tanpa dikesan oleh pembalak haram. Sistem ini juga akan diperluas penggunaannya di lain-lain negeri setelah kejayaan pelaksanaannya kelak.
Selain itu, JPSM telah diperuntukkan sejumlah RM140,000 untuk tujuan perolehan atau penyewaan perkhidmatan kemudahan teknologi UAV, di samping menaiktaraf kapasiti sistem GIS dan FMRS. Penggunaan teknologi ini juga giat diperluas penggunaannya di jabatan perhutanan negeri. Sebagai contoh, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah mengorak langkah dengan melakukan pembelian dron di bawah peruntukan negeri dan akan diikuti oleh lain-lain jabatan perhutanan negeri, sebagai bukti komitmen ke atas penggunaan teknologi ini.
Sekian, terima kasih