Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 March 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

16

Soalan

Dato' Fauzi bin Abdul Rahman [ Indera Mahkota ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan :-

(a) apakah Kementerian bersedia untuk menilai semula penubuhan Jabatan Galian sepertimana beberapa tahun dahulu agar Kementerian dapat memastikan segala aktiviti perlombongan akan berjalan mengikut kaedah-kaedah dan undang-undang yang ditetapkan. Dengan keadaan sedemikian, kemusnahan alam sekitar dapat diminimakan dan pencemaran serta keselamatan masyarakat lebih terjamin; dan

 

(b) apakah Kementerian bersetuju memanjangkan moratorium pengeksportan bauksit hingga kaedah-kaedah dan undang-undang baginya disiapsempurnakan oleh pihak Kerajaan. Apakah Kementerian bersedia untuk membincang garis panduan ini dengan pihak-pihak berkepentingan.

Jawapan

Ahli Yang Berhormat,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Jabatan Galian telah dimansuhkan ekoran penggabungannya dengan Jabatan Penyiasatan Kajibumi bagi membentuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 1 Julai 1999. Penggabungan tersebut bertujuan antara lainnya:

1. Untuk right sizing agensi kerajaan;

2. Untuk menghapuskan pertindihan fungsi di antara dua jabatan;

3. Untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan berkesan;

4. Untuk menjimatkan kos operasi jabatan; dan

5. Untuk mewujudkan sektor mineral yang dinamik, cekap dan berdaya saing.

Selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan 1957, di mana kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan dipisahkan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) dan Enakmen Mineral Negeri (EMN) telah digubal untuk menggantikan Enakmen Melombong Negeri-Negeri yang merupakan undang-undang hidbrid dan berkuatkuasa sejak belum Merdeka. APM adalah satu perundangan persekutuan bagi mengawal selia aktiviti

perlombongan, sementara EMN adalah perundangan negeri bagi mentadbir pengeluaran tenemen mineral dan hasil-hasil yang berkaitan dengannya.

Dalam hal ini, JMG adalah agensi teknikal yang bertanggungjawab bagi memastikan dan mengawalselia operasi perlombongan dijalankan dengan selamat dan mengikut amalan kejuruteraan sebenar serta penjagaan terhadap alam sekitar berdasarkan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah APM.

Tuan Yang DiPertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sedang mengkaji pematuhan prosedur dan peraturan dalam tempoh moratorium yang dijangka tamat pada 14 April 2016.

Secara asasnya, draf prosedur / garis panduan / syarat baharu berkaitan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit telah disediakan hasil daripada bengkel yang diadakan dan perbincangan susulan yang dibuat bersama agensi berkaitan. Walau bagaimanapun, beberapa perkara masih di peringkat penyelarasan lanjut terutamanya bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan cadangan-cadangan tersebut dilaksanakan. Pelaksanaan prosedur / garis panduan / syarat baharu tersebut akan menjadikan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit ini lebih teratur, berkesan dan memberikan penekanan terhadap alam sekitar serta kesejahteraan penduduk Kuantan.

Kementerian bersama-sama kerajaan negeri akan berusaha supaya objektif fasa 1 hingga 3 dapat dicapai dalam masa yang ditetapkan. Walau

bagaimanapun, jika berlaku kelewatan kementerian akan mempertimbangkan pelanjutan tempoh moratorium sekiranya perlu.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan cadangan pihak-pihak yang berkepentingan sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Kementerian melalui bengkel dan sesi rundingan.

Sekian, terima kasih.

Attachments