JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil berat ke atas kemalangan yang membabitkan kenderaan dan harimau di Lebuh raya Pantai Timur (LPT) baru-baru ini. Antara usaha yang telah dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN bagi mengelakkan kejadian kemalangan yang membabitkan kenderaan dan hidupan liar adalah seperti berikut:
i. Memasang 236 papan tanda lintasan hidupan liar di 133 lokasi hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh Semenanjung Malaysia. Pemasangan papan tanda ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar;
ii. Memasang sebanyak 37 set transverse bar untuk memperlahankan kenderaan dan 24 unit solar amber light bagi memberi kesedaran kepada pemandu mengenai kawasan lintasan hidupan liar di 4 lokasi di Mersing, Johor;
iii. Pembinaan viaduct bagi tujuan lintasan hidupan liar di 3 lokasi koridor hidupan liar iaitu:
a) Sg. Deka, Terengganu yang dibina pada tahun 2009;
b) Sg. Yu, Pahang yang dibina pada tahun 2014; dan
c) Gerik, Perak yang dibina pada tahun 2015.
3
Di samping itu, beberapa langkah baru telah dicadangkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang, antaranya:
i. Sebarang cadangan bagi pembinaan lebuh raya atau jalan raya yang berhampiran atau merentasi habitat hidupan liar hendaklah menyediakan Pelan Pengurusan Hidupan Liar dan mendapatkan pandangan daripada Jabatan PERHILITAN;
ii. Perlu diwujudkan viaduct (lintasan hidupan liar) bagi pembinaan lebuh raya atau jalan raya yang baru di lokasi yang dikenal pasti;
iii. Memberi konsultasi kepada pihak pengurusan lebuh raya bagi memastikan pagar sempadan di sepanjang lebuh raya diselenggara dengan baik; dan
iv. Menambah bilangan bagi papan tanda lintasan hidupan liar, Transverse Bar dan Solar amber light.
Kementerian juga sedang merancang untuk mewujudkan viaduct baru di jalan raya atau lebuh raya di seluruh negara. Kajian mengenai kesesuaian lokasi pembinaan viaduct sedang dijalankan.
Sekian, terima kasih.