Tuan Yang Di-Pertua,
(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar hanya melaksanakan program pemantauan kualiti air bagi sungai-sungai dan perairan pantai yang terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit bagi mengesan sebarang perubahan dalam kualiti air akibat aktiviti perlombongan tersebut. Keputusan analisis akan dipanjangkan ke agensi-agensi yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi utama yang terjejas dengan aktiviti perlombongan bauksit adalah di bawah tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Berdasarkan maklumat yang diterima, aktiviti pembersihan tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Kuantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Alam Flora Sdn. Bhd. Kerja-kerja pembersihan telah mula dilaksanakan sehari sebelum pengenaan moratorium dikuatkuasakan iaitu pada 14 Januari 2016.
(b) NRE telah merangka penambahbaikan terhadap prosedur / garis panduan / syarat baharu berkaitan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit telah disediakan hasil daripada bengkel
yang diadakan dan perbincangan susulan yang dibuat bersama agensi berkaitan. Walau bagaimanapun, beberapa perkara masih di peringkat penyelarasan lanjut terutamanya bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan cadangan-cadangan tersebut dilaksanakan. Pelaksanaan prosedur / garis panduan / syarat baharu tersebut akan menjadikan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit ini lebih teratur, berkesan dan memberikan penekanan terhadap alam sekitar serta kesejahteraan penduduk Kuantan.
Kementerian bersama-sama kerajaan negeri akan berusaha supaya objektif fasa 1 hingga 3 dapat dicapai dalam masa yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih.