Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

53

Soalan

Datuk Dr. Haji Abd. Latiff bin Haji Ahmad [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan jumlah sumber simpanan air bawah tanah yang belum diusik untuk dijadikan rizab ataupun alternatif untuk berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air di negara ini terutama semasa musim kemarau.

Jawapan

Ahli Yang Berhormat,

Secara dasarnya, sumber air tanah negara boleh dijadikan sebagai alternatif kepada bekalan air bagi menampung kekurangan air pada musim kemarau. Namun, kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan di seluruh negara iaitu melibatkan 189 lembangan sebelum sumber air tanah tersebut boleh diekstrak secara meluas untuk kegunaan domestik di seluruh negara.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan projek kajian simpanan air tanah negara di bawah RMKe-10 bagi 2 lembangan sungai, iaitu Lembangan Sungai Kelantan Utara dan Sungai Langat. Hasil kajian tersebut adalah seperti berikut:

(i) Lembangan Kelantan Utara

Jumlah Simpanan Air Tanah yang selamat boleh diekstrak dalam sehari: 509,000 m3 sehari

Jumlah air tanah sedang diguna: 125,000 m3 sehari

(ii) Lembangan Sungai Langat

Jumlah Simpanan Air Tanah yang selamat boleh diekstrak dalam sehari: 45,000 m3 sehari

Jumlah air tanah sedang diguna: 19,000 m3 sehari.

Seterusnya, di bawah projek RMKe-11, JMG akan menjalankan kajian penilaian simpanan air tanah ke atas 5 lembangan, iaitu Lembangan Sg. Muda di Kedah, Lembangan Sg. Selangor di Selangor, Lembangan Sg. Kedamaian-Tempasok di Sabah, Lembangan Sg. Pahang di Pahang dan Lembangan Sg. Miri di Sarawak. Kajian ini dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh masa 5 tahun dari 2016 hingga 2020.

Sebagai panduan am, kajian umum mengenai simpanan air tanah negara telah dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) pada tahun 1982 dan menunjukkan jumlah simpanan air tanah ialah 5.0 trillion m3.

Sekian, terima kasih.

Attachments