Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

24

Soalan

Tuan Tan Kok Wai [ Cheras ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah langkah-langkah penting yang akan diambil oleh Malaysia untuk menyelamatkan Bumi berikutan Persidangan Perubahan Iklim PBB di Paris pada Disember lalu

Jawapan

​Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Kerajaan Malaysia sentiasa komited untuk menangani isu perubahan iklim. Pihak Kerajaan melalui Kementerian dan Agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program dan langkah yang terbukti berjaya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di bawah sektor-sektor utama negara seperti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian.

Langkah-langkah ini secara langsung telah menyumbang kepada pencapaian petanda suka rela bersyarat pengurangan pelepasan 40% intensiti GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005 sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2009 di Copenhagen Denmark. Sasaran petanda suka rela tersebut adalah tertakluk kepada penerimaan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara-negara maju. Malaysia kini sedang berada di landasan bagi mencapai sasaran pengurangan tersebut.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Sebagai langkah persediaan dalam proses rundingan Paris Agreement, setiap negara Parti kepada Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) dijemput untuk mengemukakan pelan untuk menangani perubahan iklim yang dinamakan Intended Nationally Determined Contributions (INDC) sebagai sumbangan negara kepada usaha global

untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Malaysia telah mengemukakan INDC kepada UNFCCC pada 27 November 2015.

INDC Malaysia memaklumkan bahawa negara berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030 berasaskan intensiti pelepasan pada tahun 2005. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju. INDC Malaysia juga turut mengandungi maklumat mengenai adaptasi perubahan iklim yang telah dilaksanakan oleh negara bagi tempoh 2011 sehingga 2014 seperti pelan risiko banjir (flood risks), jaminan bekalan air (water security), jaminan bekalan makanan (food security), perlindungan kawasan pantai (coastline protection), dan kesihatan (health).

Memandangkan Paris Agreement telah dipersetujui oleh semua negara parti kepada UNFCCC pada 12 Disember 2015, Kementerian ini telah memulakan proses konsultasi bersama pihak-pihak berkepentingan mengenai cadangan Malaysia menandatangani persetujuan tersebut.

Sekian, terima kasih.

Attachments