Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

29

Soalan

Datuk Raime Bin Unggi [ Tenom ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah cabaran yang dihadapi Malaysia dalam melaksanakan obligasi negara terhadap Protokol Montreal tersebut.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Malaysia merupakan negara parti kepada Protokol Montreal yang merupakan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala (MEA) yang bertujuan mengawal penggunaan Bahan-bahan Pemusnah Ozon (BPO) yang berpotensi menipiskan lapisan ozon seperti Klorofluorokarbon (CFC), halon, Carbon Tetrachloride (CTC) dan Hidroklorofluorokarbon (HCFC).

Sepanjang tempoh tersebut cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan obligasi Perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

i. Larangan mutlak ke atas pengimportan bahan kimia Klorofluorokarbon (CFC), Halon dan Carbon Tetrachloride (CTC) mulai 1 Januari 2010;

ii. Pengurangan penggunaan bahan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) melalui Pelaksanaan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC atau HCFC Management Plan (HPMP) secara berperingkat iaitu pengurangan 10% pada tahun 2015, pengurangan 35% pada tahun 2020, 67.5% pada tahun 2025 dan mencapai sasaran penghapusan mutlak bahan tersebut menjelang tahun 2030 ;

iii. Pelaksanaan projek penukaran teknologi dari penggunaan bahan HCFC-141b kepada cyclopentane dalam sektor busa (foam) di 13 buah premis pembuatan busa dan bantuan teknikal di permis-premis pembuatan polyol melalui pembiayaan dana Tabung Pelbagai Hala Protokol Montreal

( Multilateral Fund (MLF) of Montreal Protocol);

iv. Pindaan perundangan bagi mengawal selia pengimportan bahan HCFC. Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 telah dipinda dengan memasukkan 40 jenis HCFC ke dalam Jadual Kedua sebagai barangan import yang dikawal. Ini bagi memudahkan Jabatan Alam Sekitar mentadbir dan mengenalpasti pengimport yang layak menerima permit (AP) untuk mengimport HCFC; dan

v. Kementerian juga perlu membantu pihak industri dalam mengadaptasi Pelaksanaan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC atau HCFC Management Plan (HPMP) dengan kaedah penetapan jumlah pemberian kuota kepada pengimport mengikut penjenisan dan had yang dibenarkan di bawah Protokol Montreal.

Perkara di atas merupakan cabaran yang telah dihadapi oleh Malaysia dalam mencapai obligasi di bawah Protokol Montreal. Pada Julai 2015, ke semua projek penukaran teknologi dengan pihak industri terlibat yang di rancang di bawah Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC Peringkat 1 (2012-2016) telah berjaya diselesaikan sepenuhnya dan Malaysia telah berjaya memenuhi obligasinya dalam pematuhan pengurangan pengimportan HCFC 10% pada tahun 2015 . Pelan pengurusan HCFC ini akan diteruskan untuk Peringkat 2 (2016-2020) dengan melibatkan lebih ramai pemain industri yang menggunakan bahan HCFC iaitu di sektor busa dan sektor penyejukan serta penyaman udara.

Sekian, terima kasih.

Attachments