Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

38

Soalan

Puan Rubiah binti Haji Wang [ Kota Samarahan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah langkah serta usaha yang diambil oleh pihak Kementerian dalam memperkasakan lagi kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar di Malaysia terutamanya bagi membendung daripada berlakunya pencemaran sungai kerana air adalah sumber utama kehidupan.

Jawapan

​Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan pelbagai usaha untuk memperkasakan dan memantapkan lagi kesedaran orang ramai terhadap penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar. Semua usaha pemerkasaan ini dibuat secara berterusan melalui medium ceramah, road show, pameran, bengkel dan hebahan melalui media massa, elektronik dan media cetak yang melibatkan pelbagai kumpulan sasaran terutamannya di kalangan komuniti tempatan, industri dan stakeholder. Antara aktiviti yang dilaksanakan telah memberi impak tinggi dari aspek kerjasama dan kesedaran khusus kepada masyarakat tempatan ialah program Rakan Alam Sekitar bersama komuniti di Kawasan Parlimen yang mana telah direalisasikan sejak tahun 2009.

Bagi tahun ini, sambutan Hari Alam Sekitar akan diteruskan dan dilaksanakan secara serentak di seluruh Negara dengan program Pertandingan Choral Speaking diadakan bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar di kalangan para pelajar.

Sementara pendekatan baru bagi memperkasakan kesedaran alam sekitar adalah melalui penyertaan awam (public engagament) yang dikenali sebagai Program PemantauPencemaran (3P). Program yang melibatkan secara terus komuniti setempat sebagai mata dan telinga kepada Jabatan telah mendapat sambutan menggalakkan sejak ianya diperkenalkan pada 2013. Program 3P merupakan platform penyaluran maklumat dan pemantauan secara berterusan khususnya bagi

mengelakkan berlaku pencemaran sebelum aduan dan juga khusus memantau rapi bagi kes-kes aduan pencemaran yang berulang.

Manakala pendekatan pemudah cara membantu industry mematuhi peraturan secara self regulation yang diperkenalkan sejak 2010 telah berjaya membudayakan industry menjalankan kerja pemantau dan merekod pelaporan tahap pelepasan bahan pencemaran udara, efluen dan buangan terjadual (sisa buangan) kepada Jabatan Alam sekitar secara berkala. Sementara Pemantauan Jarak Jauh melalui continuous emission monitoring adalah kaedah membolehkan industry merekod dan menghantar data pemantauan pelepasan pencemaran 24 jam secara online kepada Jabatan. Sebarang pindaan ke atas peruntukan Akta dan peraturan juga dilaksanakan program konsultasi awam (seranta awam atas talian) serta dengan semua pihak yang berkepentingan sebagai sebahagian dari proses menyabarkan maklumat awal dan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pindaan yang akan dibuat serta keperluannya.

Dari segi pengawasan kualiti alam sekitar, Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan program pengawasan kualiti air sungai secara berjadual dan mengikut kekerapan yang telah ditetapkan iaitu 4 - 12 kali setahun melalui 891 stesen persampelan di 473 batang sungai di seluruh Negara. JAS juga sedang dalam perancangan ke arah memperkasakan pengawasan kualiti alam sekitar termasuk air sungai dengan pendekatan kaedah yang baru, serta menambah sejumlah stesen pengawasan baru di sungai-sungai yang berkepentingan terutama yang menjadi sumber air bagi loji rawatan air dan di kawasan pedalaman Sarawak. Maklumat-maklumat yang diperolehi daripada pengawasan kualiti air sungai ini akan menjadi input penting kepada Kementerian

mengenalpasti perubahan kualiti air sungai, kesan pencemaran daripada sumber-sumber sedia ada atau yang bakal dibangunkan, dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memperbaiki kualiti air sungai.

Sekian, terima kasih.

Attachments