Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

70

Soalan

Tuan Haji Ahmad Nazlan bin Idris [ Jerantut ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah pencapaian Malaysia di dalam mematuhi Protokol Montreal untuk melindungi lapisan ozon bumi.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Protokol Montreal merupakan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala (MEA) yang bertujuan mengawal penggunaan Bahan-bahan Pemusnah Ozon (BPO) yang berpotensi menipiskan lapisan ozon seperti Klorofluorokarbon (CFC) dan Hidroklorofluorokarbon (HCFC). Bahan HCFC ini juga mempunyai potensi pemanasan global (global warming potential atau GWP) yang agak tinggi. Oleh itu secara tidak langsung melalui pengurangan penggunaan BPO juga akan mengakibatkan pengurangan pemanasan global.

Malaysia menyertai negara-negara lain di seluruh dunia untuk melindungi lapisan ozon dengan meratifikasi Konvensyen Vienna dan Protokol Montreal pada 29 Ogos 1989; Pindaan London pada 16 Jun 1993; Pindaan Beijing dan Montreal pada 21 Oktober 2001.

Sebagai Negara Parti kepada Protokol Montreal, Malaysia telah berjaya menghentikan pengimportan CFC, halon dan CTC mulai 1 Januari 2010. Penghapusan HCFC pula dibuat secara berperingkat dimulai dengan pembekuan (freeze) pengimportan pada tahap baseline yang dikira daripada purata penggunaan pada tahun 2009 dan 2010, seterusnya pengurangan 10% daripada jumlah baseline pada 2015, 35% pada 2020, 67.5% pada 2025, 97.5% pada 2030 dan pengimportan hanya dibenarkan sebanyak 2.5% sahaja bagi sektor servis sehingga tahun 2040.

Di bawah Perjanjian Protokol Montreal, Malaysia perlu mengurangkan pengimportan HCFC sebanyak 10% pada tahun 2015. Bagi memenuhi obligasi negara untuk menghapuskan 10% penggunaan HCFC pada 2015 ini, satu Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC atau HCFC Management Plan (HPMP) Stage 1 telah disediakan. Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke 65 (ExCom 65) Multilateral Fund di Bali pada 14-18 November 2011 telah meluluskan pembiayaan dana Tabung Multilateral (Multilateral Fund -MLF) bagi projek penukaran teknologi dari penggunaan bahan HCFC-141b kepada cyclopentane dalam sektor busa (foam) di 13 buah premis pembuatan busa dan bantuan teknikal di premis- premis pembuatan polyol. Pada Julai 2015, kesemua projek ini telah berjaya diselesaikan dan Malaysia telah berjaya memenuhi obligasinya dalam pematuhan pengurangan pengimportan HCFC 10%.

Gas-gas HCFC ini juga merupakan gas-gas rumah kaca yang boleh mengakibatkan fenomena "global warming". Oleh itu, pelaksanaan dan kejayaan projek HPMP ini akan secara langsung dapat menangani isu fenomena "global warming" ini. Adalah dijangkakan di akhir pelaksanaan projek HPMP Stage 1 ini pada tahun 2016, sebanyak 1.35 juta ton CO2-equivalent dapat dikurangkan oleh Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Attachments