Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

86

Soalan

Dato’ Haji Zainuddin Bin Ismail [ Jelebu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah Kementerian telah merangka persiapan untuk menangani masalah jerebu pada masa akan datang.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Pihak Kementerian sememangnya telah bersiap sedia bagi menangani masalah jerebu yang berpotensi berlaku pada tahun ini sama ada disebabkan oleh punca tempatan atau merentas sempadan. Dalam hal ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan Bil 1 Tahun 2016 pada 18 Februari 2016 yang lalu. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan tindakan pencegahan jerebu semasa cuaca panas dan kering yang diramal berlanjutan sehingga bulan April 2016.

Bagi menangani cuaca panas dan kering, Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan. Antara tindakan yang diambil, antaranya;-

a) Mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara mulai 12 Januari 2016. Ia meliputi aktiviti-aktiviti rondaan darat bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan terutamanya ke kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti mudah terbakar, tindakan mahkamah bagi kes-kes pembakaran terbuka di kawasan tapak binaan, industri dan ladang manakala bagi kes-kes pembakaran terbuka yang kecil tindakan kompaun akan dikenakan; mengeluarkan secara serentak surat-surat arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah supaya mengambil langkah pencegahan serta

sentiasa mengawal rapi dan memastikan tapak-tapak pelupusan tidak terbakar bagi mengelakkan jerebu, mempertingkatkan kempen-kempen kesedaran khususnya melalui radio tempatan bagi mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka, penglibatan masyarakat setempat melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka dan memperkemaskan sistem dan saluran komunikasi penerimaan aduan pembakaran terbuka dari orang ramai;

b) Pemantauan rapi ke atas kawasan-kawasan tanah gambut yang sering terbakar melalui pengaktifan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar;

c) Penguatkuasaan semasa musim panas dan kering dipertingkatkan ke atas punca-punca pencemaran udara yang lain iaitu pelepasan asap dari kenderaan bermotor, pelepasan habuk dari kerja-kerja tanah dan pelepasan asap dari premis industri; dan

d) Pemantauan melalui udara (aerial surveillance) dilaksanakan bagi mencegah kebakaran hutan terutama di kawasan sering terbakar dan kawasan pedalaman yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.

Di peringkat dua hala, Malaysia dan Indonesia kini sedang memuktamadkan draf Perjanjian Persefahaman (Memorandum of Understanding, MOU) bagi usaha-usaha pencegahan kebakaran tanah dan hutan serta jerebu dengan memberi penekanan kepada program-program pembangunaan keupayaan (capacity building) dalam bidang penguatkuasaan undang-undang pencegahan pembakaran terbuka, pengurusan tanah gambut secara lestari, amalan pembakaran sifar,

pemadaman kebakaran dan lain-lain bidang yang perlu dipersetujui secara bersama.

Sekian, terima kasih.

Attachments