Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

388

Soalan

Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah Kerajaan mempunyai peruntukan penanaman pokok bakau atau api-api secara bersepadu bagi menggalakkan pertumbuhan makanan laut serta menghalang hakisan pantai. Jika ada, berapakah peruntukan yang disediakan Kerajaan.

Jawapan

​Tuan Yang Dipertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia telah melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara sejak tahun 2005, selepas tragedi tsunami melanda negara. Program ini merupakan satu program nasional yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, badan-badan bukan kerajaan, universiti dan masyarakat setempat.


Antara objektif pelaksanaan program ini ialah seperti berikut:


(i) memulihara pesisiran pantai sebagai lindungan semulajadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah;


(ii) mewujudkan zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar;


(iii) memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai; dan


(iv) meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong.


Sejak pelaksanaan program ini, peruntukan kewangan berjumlah RM46.54 juta telah dibelanjakan di bawah dua (2) tempoh Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Manakala, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas bagi


siling tahun 2016, program ini telah menerima peruntukan kewangan berjumlah RM5.2 juta.


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jumlah keseluruhan kawasan yang terlibat dengan program ini di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2015 ialah seluas 2,578.36 hektar dengan jumlah pokok yang ditanam adalah sebanyak 6.32 juta pokok. Antara spesies pokok yang ditanam termasuklah Bakau kurap, Bakau minyak, Api-api, Rhu pantai, Ketapang, Nipah, Nyireh dan Tembusu.


Usaha memelihara dan memulihara ekosistem kawasan pesisir pantai akan diteruskan di masa-masa akan datang dengan kerjasama semua pihak untuk kepentingan dan faedah generasi kini dan akan datang.


Sekian, terima kasih.

Attachments