Tuan Yang di-Pertua,
Operasi perlombongan dikawalselia oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dengan berlandaskan peruntukan kuasa di bawah Akta Pembangunan Mineral, 1994. Selain itu, JMG turut menjalankan pemeriksaan secara berkala dalam memastikan lombong-lombong tersebut beroperasi dengan teratur dan mematuhi Skim Pengendalian Melombong (OMS) yang diluluskan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Skim Pengendalian Melombong) 2008.
Peranan JMG hanya memantau dan mengawalselia lombong-lombong yang diluluskan di bawah EMN, manakala kawasan-kawasan pengekstrakan bauksit secara haram adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Pahang.
Di dalam kawasan perindustrian Gebeng, terdapat 6 lombong yang telah diluluskan di bawah Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 (EMN) mulai Julai 2015, iaitu 5 di bawah Pajakan Melombong (ML) dan 1 di bawah Lesen Melombong Tuan Punya (PML). Sehingga kini, semua lombong mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.
Sekian, terima kasih.