Tuan Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Ahli-ahli yang berhormat, laporan ujikaji dan persampelan terhadap ikan yang didapati mati di Sungai Tonggak pada awal Januari 2016 lepas adalah dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Perikanan.
Jabatan Perikanan Malaysia melalui Unit Biosekuriti Negeri Pahang telah membuat ujian in-situ dan penyampelan. Penyampelan telah dilakukan pada 5 Januari 2016. Sampel-sampel ikan belanak telah dihantar ke Makmal Jabatan Kimia Negeri Pahang (racun), Petaling Jaya (logam berat) dan Makmal Biosekuriti Kuantan, Jabatan Perikanan Malaysia bagi penentuan kualiti air dan ketoksikan plankton. Ujian in-situ mendapati bacaan saliniti adalah '0' (kosong).
Kes kematian ikan yang berlaku di kawasan Sungai Tonggak adalah berpunca dari faktor kemasinan air di kawasan terlibat yang mana ikan belanak memerlukan saliniti sekurang-kurangnya 15 ppt. Berdasarkan kepada keputusan analisis logam berat menunjukkan bacaan dibawah kadar ditetapkan dalam Akta Makanan 1985. Ujian analisa racun mendapati tiada kehadiran racun dikesan manakala ujian mutu air menunjukkan kebanyakan sungai terlibat mempunyai kadar Kandungan Bahan Terampai (TSS; Total Suspended Solid) yang tinggi.
Sekian, terima kasih