Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

467

Soalan

Puan Hajah Fuziah binti Salleh [ Kuantan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah perancangan pihak Kementerian untuk memulihkan kualiti air sungai sekitar Kuantan yang telah tercemar teruk dengan logam berat akibat perlombongan bauksit.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar melaksanakan program pemantauan kualiti air bagi sungai-sungai dan perairan pantai yang terjejas akibat aktiviti bauksit bagi mengesan sebarang perubahan dalam kualiti air akibat aktiviti perlombongan tersebut. Keputusan analisis akan dipanjangkan ke agensi-agensi yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi perlombongan bauksit dikawalselia oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dengan berlandaskan peruntukan kuasa di bawah Akta Pembangunan Mineral, 1994. Selain itu, JMG turut menjalankan pemeriksaan secara berkala dalam memastikan lombong-lombong tersebut beroperasi dengan teratur dan mematuhi Skim Pengendalian Melombong (OMS) yang diluluskan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Skim Pengendalian Melombong) 2008.

Hasil analisis persampelan yang dijalankan oleh JMG menunjukkan bahawa kandungan logam berat di dalam sampel air, sedimen dan bauksit di kawasan perlombongan bauksit, Kuantan, Pahang adalah sangat rendah. Pemantauan terhadap perkara ini terus dilaksanakan dari masa ke masa bagi memastikan kandungan logam berat dan radiasi adalah berada di bawah daripada standard yang ditetapkan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) juga sedang menyemak semula dan menambahbaik semua peraturan / prosedur /

garis panduan yang melibatkan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dan akan digunapakai selepas tempoh moratorium tersebut tamat. Prosedur / garis panduan ini akan meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan di tempat pengekstrakan bauksit, pengangkutan, pengurusan stockpile di dalam dan luar pelabuhan dan prosedur pengeluaran Permit Eksport (AP) bagi bauksit. Langkah-langkah ini akan dapat mengawal pencemaran alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

Attachments