Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

33

Soalan

YB. Dato' Dr. Johari bin Mat minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan peratus dan punca kemalangan di tempat-tempat perkelahan dan rekreasi seperti pengembaraan mendaki gunung dan sebagainya dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal bagi tempoh lima (5) tahun ke belakang. Apakah usaha yang telah diambil oleh Kerajaan untuk memberi penerangan supaya langkah-langkah keselamatan dipatuhi.

Jawapan

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Terdapat 112 hutan lipur dan 7 hutan taman negeri yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal dan diuruskan di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini (tahun 2011 sehingga tahun 2015), terdapat 96 kes kemalangan yang berlaku di dalam kawasan hutan lipur dan hutan taman negeri iaitu 49 kes lemas (51%), 27 kes sesat (28%), 13 kes terjatuh/tergelincir (14%), 4 kes kepala air (4%) dan 3 kes ditimpa dahan/pokok (3%). Dalam tempoh tersebut, sebanyak 57 kematian telah direkodkan.

Dalam menangani kes-kes kemalangan yang melibatkan kawasan hutan lipur dan hutan taman negeri, terdapat beberapa tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, antara lainnya seperti berikut:

i) Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control-HIRARC);

ii) Penubuhan Pasukan Penyelamat Perhutanan di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pasukan Penyelamat Perhutanan (Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil. 11/2015);

iii) Pengurusan dan pemantauan pokok bahaya (Panduan Pengurusan Pokok Bahaya di Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri Semenanjung Malaysia); ​

iv) Pelaksanaan kaedah Communication, Education and Public Awareness (CEPA) bagi memberikan kesedaran dan ancaman bahaya dan risiko yang ada serta kepentingan pemeliharaan hutan kepada pengunjung;

v) Pemasangan Sistem Siren Kepala Air di beberapa lokasi yang berisiko tinggi sebagai amaran awal kepada pengunjung sekiranya berlaku kejadian kepala air di bahagian hulu sungai;

vi) Pemasangan papan tanda amaran di kawasan-kawasan bahaya dan berisiko tinggi;

vii) Pemasangan papan tanda peraturan dan keselamatan;

viii) Menyediakan khidmat jurupandu yang terlatih dan diiktiraf oleh jabatan; dan

ix) Meningkatkan kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sekian, terima kasih.

Attachments