Tuan Yang Di-Pertua,
Kementerian ini amat komited dalam menangani masalah jerebu yang dihadapi oleh Malaysia, khususnya masalah jerebu merentas sempadan yang berpunca dari negara jiran.
Malaysia sentiasa menggesa Kerajaan Indonesia supaya mengambil langkah berkesan bagi menangani masalah jerebu dan salah satu nya adalah melalui Perjanjian Persefahaman (MOU) Malaysia dan Indonesia yang baru yang dikenali sebagai "Memorandum of understanding between The Government of Malaysia and The Government of the Republic of Indonesia on the Co-Operation in Prevention and Mitigation Efforts to Reduce Forest and Land Fires in Riau Province" telah dikemukakan pada 11 November 2014 kepada Indonesia.
Kementerian telah mengambil beberapa tindakan susulan bermula 11 November 2014 sehingga 18 Januari 2016 bagi menandatangani MOU baharu ini bersama negara Indonesia namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada negara tersebut. Walaubagaimanapun, pihak Kementerian akan sentiasa memberi tekanan kepada negara Indonesia agar MOU ini dapat ditandatangani dengan segera.
Untuk makluman, saya juga akan mengetuai delegasi Malaysia dalam Mesyuarat Ke-18 ‘ASEAN Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Tranrsboundary Haze Pollution’ di Singapura pada 4 Mei 2016 bagi
memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menangani masalah jerebu yang berulang setiap tahun.
Meskipun MoU tersebut masih belum ditandatangani, Malaysia masih bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani masalah jerebu, misalnya bagi jerebu yang berlaku teruk pada tahun lepas. Malaysia telah menghantar pesawat "bombardier" sebagai usaha-usaha bantuan pemadaman kebakaran di Sumatera, Indonesia pada bulan Oktober 2015. Selain itu, YB Menteri NRE turut mengunjungi rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada 27 Oktober 2015 bagi membincangkan kerjasama bilateral khususnya bagi mencegah masalah jerebu daripada berulang pada tahun ini.
Sekian, terima kasih