Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 April 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

6

Soalan

Y.B. PUAN HAJAH NORAHAN BINTI ABU BAKAR minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan :-

(a) apakah program-program yang dijalankan oleh Kementerian dalam menjalankan kegiatan eksploitasi, promosi dan kajian mengenai potensi kayu gaharu di Malaysia; dan

(b) apakah hasil dari perang (war) yang diisytiharkan oleh pihak Kementerian terhadap penceroboh dan pencuri kayu gaharu di hutan Malaysia terutamanya di hutan Pahang.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan pokok karas (Aquilaria spp) yang menghasilkan kayu gaharu. Antara program-program yang dilaksanakan oleh Kementerian dalam menjalankan kegiatan eksploitasi, aktiviti promosi dan kajian mengenai potensi kayu gaharu di Malaysia adalah seperti berikut:

(i) Lebih kurang 2,800 hektar ladang pokok karas telah ditubuhkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga akhir tahun 2015, dengan umur dirian dalam lingkungan umur 4 hingga 7 tahun. Jumlah keluasan kawasan ini tidak termasuk dirian penyelidikan yang ditubuhkan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan di Kuala Lipis, Pahang yang telah berumur 14 tahun;

(ii) Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia juga telah mengeluarkan Manual Pengecaman Spesies Aquilaria di Semenanjung Malaysia dan Manual Penggredan Gaharu untuk kegunaan semua pihak yang berkaitan; dan

(iii) Kementerian melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjalankan penyelidikan yang menyeluruh merangkumi peringkat huluan dan hiliran untuk menyokong pembangunan serta perkembangan industri Gaharu di Malaysia. Antara penyelidikan yang telah dilaksanakan adalah merangkumi Pengurusan Hutan dan Konservasi, Bahan Tanaman Berkualiti,

 

Pengurusan Perladangan, Penyakit dan Perosak, Teknologi Inokulasi, Penuaian dan Pengestrakan Minyak serta Kawalan Kualiti dan Pembangunan Produk.

(b) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi menangani masalah pencerobohan dan kecurian kayu gaharu, Kementerian telah mengambil langkah-langkah yang berikut:

(i) Menguatkuasakan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]. Akta ini telah digubal dan mula dikuatkuasakan sejak tahun 2010. Ia digubal bagi memastikan Malaysia memenuhi obligasi pengawalan spesies perdagangan antarabangsa yang diancam kepupusan di bawah Konvensyen tentang Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora – CITES);

Kawalan kepada spesies pokok karas akan meningkatkan imej negara sebagai sebuah negara yang prihatin dan komited terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan serta perlindungan sumber genetik. Ia juga adalah selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 dan komitmen negara sebagai ahli kepada konvensyen-konvensyen antarabangsa seperti Convention on Biological Diversity (CBD). Pokok karas merupakan salah satu spesies yang telah disenaraikan dalam senarai Appendix II CITES;

Akta ini menghalang perdagangan gaharu tanpa lesen dan menguatkuasakan pemeliharaan dan pemuliharaan spesis gaharu. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga telah menubuhkan jawatankuasa induk bagi CITES dan jabatan dan agensi berkaitan terlibat sebagai Pihak Berkuasa Pengurusan (Management Authority-MA) dan Pihak Berkuasa Saintifik (Scientific Authority-SA) yang melaksanakan penguatkuasaan dan langkah-langkah pemuliharaan yang berterusan;

(ii) Melaksana dan menguatkuasakan kaedah pelesenan dan pemantauan serta kawalan pengusahasilan Karas melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bilangan 1 Tahun 2011-Garis Panduan Pelesenan Pengusahasilan dan Pemperosesan Kayu Karas/Gaharu Di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan pengurusan dan pengusahasilan gaharu secara berkekalan; dan

(iii) Melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi menangani kegiatan pencerobohan dan kecurian gaharu khususnya di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal. Di samping itu, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan juga dilaksanakan secara bersama dengan jabatan/agensi berkaitan melalui program 1Malaysia Biodiversity Enforcement Network (1MBEON) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy-NBOS) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berdasarkan rekod, jumlah kes kesalahan hutan yang melibatkan gaharu di Semenanjung Malaysia yang telah berjaya didakwa di mahkamah daripada tahun 2001 hingga 2015 adalah sebanyak 26 kes, di mana orang yang dituduh adalah melibatkan 35 warganegara Malaysia dan 39 warga asing.

Sekian, terima kasih.

Attachments