Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

42

Soalan

Dato' Hoh Khai Mun minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) piawaian yang lebih peka, dapat memberi kesan dan perbezaan yang luas dalam jumlah pelepasan karbon terkumpul di Malaysia dan apakah langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian untuk mengurangkan isu pencemaran udara negara.

Jawapan

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Indeks Pencemar Udara adalah petunjuk bagi status kualiti udara dengan mengambilkira parameter pencemar udara iaitu habuk halus bersaiz diameter 10 mikrometer (micron) dan ke bawah, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, karbon monoksida dan ozon di aras bumi. Bacaan IPU diperolehi hasil dari pengukuran dan pengiraan purata kepekatan pencemar-pencemar udara ini dalam tempoh 24 jam pendedahan pencemar kepada kesihatan awam sepertimana yang digariskan dalam protokol antarabangsa. Pelepasan karbon ke udara adalah merujuk kepada pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases) iaitu karbon dioksida, gas metana, nitrous oksida dan gas-gas berflorin seperti klorofluorokarbon (CFC), Hidroflurokarbon (HFC) dan sulfur hexa fluoride (SF6). Pelepasan karbon melalui gas rumah hijau menyebabkan peningkatan suhu bumi atau pemanasan global (global warming). Pencemaran udara berkait rapat dengan isu pemanasan global dan perubahan iklim dunia. Pelepasan karbon diukur dari ‘carbon foot print’ iaitu jumlah pelepasan karbon dioksida dan kompoun-kompoun karbon lain dari penggunaan bahan api fosil oleh individu atau kumpulan. Oleh itu jika IPU tinggi disebabkan jerebu, maka jumlah pelepasan karbon juga tinggi yang dikira dari kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu dan pembakaran bahan api yang turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Dalam ertikata lain kepekaan piawaian IPU juga memberi kesan kepada jumlah pelepasan karbon terkumpul di Malaysia. 3

Bagi mengurangkan isu pencemaran udara, pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar melaksanakan Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 yang telah menggariskan hala tuju kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam pengurusan kualiti udara dan langkah-langkah penyelesaian jangkamasa pendek, sederhana dan panjang dalam menangani masalah pencemaran udara.

Beberapa strategi dan pelan tindakan telah dirumus dalam Pelan Tindakan Udara Bersih ini ke arah mempertingkatkan kualiti udara bagi kesejahteraan hidup rakyat.

Strategi-strategi yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih adalah:-

(a) Mengurangkan pencemaran udara dari kenderaan bermotor;

(b) Mengurangkan pencemaran udara dari aktiviti perindustrian;

(c) Menangani masalah jerebu yang berpunca dari kebakaran tanah dan hutan serta aktiviti pembakaran terbuka;

(d) Meningkatkan pembangunan modal insan dan pembangunan keupayaan dalam pengurusan kualiti udara; dan

(e) Memperkasakan program-program pendidikan dan kesedaran kepada orang awam serta mempertingkatkan penyertaan mereka dalam pengurusan kualiti udara yang lestari.

Sekain, terima kasih.

Attachments