Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

75

Soalan

Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan :-

(a) senarai kesemua zoo yang terdapat di negara kita oleh pihak Kerajaan dan pihak swasta dan berapa buah zoo Kerajaan telah diswastakan dan bagaimanakah dengan sambutan orang awam dan pelancong; dan

(b) bagaimanakah dengan pemantauan dan kawalan Kementerian terhadap zoo yang telah diswastakan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Pada masa sekarang terdapat 33 buah zoo di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Daripada jumlah tersebut, 13 buah zoo adalah dimiliki oleh kerajaan dan 20 buah zoo lagi dimiliki oleh badan bukan kerajaan.

Terdapat 4 buah zoo yang telah diswastakan pengurusannya oleh Kerajaan iaitu Zoo Melaka, Taman Burung Melaka, Kuala Lumpur Bird Park dan Kenyir Elephant Conservation Village. Zoo Melaka dan Taman Burung Melaka adalah milik Kerajaan Negeri Melaka manakala Kuala Lumpur Bird Park pula dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kerajaan Negeri Terengganu pula adalah pemilik Kenyir Elephant Conservation Village. Maklumat mengenai jumlah kedatangan pelawat dan hasil ke zoo diuruskan oleh pemilik zoo masing-masing dan tidak berada di bawah kawalan Kementerian ini.

(b) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] melalui pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012 bagi pemantauan dan kawalan terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan hidupan liar di zoo. Semua pemilik zoo dikehendaki untuk memohon permit secara tahunan. Jabatan akan menjalankan pemeriksaan sebelum permit dikeluarkan setiap tahun. Pemantauan dan kawalan ini dijalankan ke atas semua pemilik zoo samada milik Kerajaan atau swasta. Antara kawalan dan pemantauan yang dijalankan adalah terhadap perkara berikut:

i. Penyediaan kurungan yang bersesuaian untuk setiap spesies hidupan liar mengikut saiz yang ditetapkan;

ii. Penyediaan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan nutrien yang baik dan diberi dalam kuantiti yang mencukupi;

iii. Mempunyai seorang doktor veterinar sepenuh masa;

iv. Penandaan dan rekod setiap hidupan liar; dan

v. Penyelenggaraan dan penyimpanan rekod-rekod penjagaan kesihatan setiap hidupan liar.

Sekian, terima kasih.

Attachments