Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

19 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

84

Soalan

YB. DR. NOOR AZMI B. GHAZALI [ BAGAN SERAI ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan Tapak Ramsar sepatutnya boleh menjana pendapatan sendiri untuk penyelenggaraan serta aktivitinya. Sejauh mana Tapak Ramsar kita diurus dengan baik, adakah Kerajaan berhasrat menambah Tapak Ramsar dan sejauh mana ia sudah dapat menaikkan negara dari aspek pemuliharaan alam semula jadi, pelancongan dan sumbangan kepada masalah pemanasan global dan perubahan iklim.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian melalui agensi-agensi pengurus Tapak Ramsar Malaysia telah dan sedang menjalankan usaha-usaha bagi meningkatkan pengurusan Tapak Ramsar melalui pelbagai program yang berkaitan dengan pemuliharaan dan pemeliharaan tanah lembap. Sebagai contoh, pelbagai program telah diadakan oleh Jabatan PERHILITAN yang merupakan agensi pengurus di Tasek Bera, Pahang seperti berikut:

i) Program Pemuliharaan dan Penyelidikan

Bagi memastikan Tapak Ramsar Tasek Bera berada di dalam keadaan baik dan memuaskan, Jabatan telah menjalankan beberapa program antaranya pemantauan kualiti air, rehabilitasi habitat, pemuliharaan hidupan liar, pelepasan anak ikan dan inventori hidupan liar dan habitat.

ii) Program Penguatkuasaan

Bagi memastikan khazanah alam di Tapak Ramsar Tasek Bera terpelihara, Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain telah menjalankan program penguatkuasaan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984, , Akta Perikanan 1985, Akta Alam Sekitar 1974, Akta Orang Asli 134, 1954 dan Kanun Tanah Negara, Akta 56 1965. 3

 

iii) Program Bersama Masyarakat Setempat

Bagi menjalinkan kerjasama antara masyarakat setempat yang terdapat di sekitar Tapak Ramsar tasek Bera, pelbagai program telah dijalankan antaranya adalah perbincangan Ramsar - Semelai, program penerangan dan dialog serta mengadakan pelbagai kursus kepada penduduk setempat.

iv) Program Kesedaran Awam

Program kesedaran awam dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang awam serta penduduk setempat agar menghargai alam semulajadi di sekitar Tapak RAMSAR. Antara program yang dijalankan adalah program pendidikan biodiversiti, pameran dan taklimat kepada orang awam.

v) Program Eko-Pelancongan

Menyediakan kemudahan pelawat bagi menjalankan kegiatan rekreasi seperti rentis bermaklumat, pusat interpretif, jalan masuk dan jeti.

Kementerian kini sedang dalam usaha untuk mencalonkan Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar Ketujuh Malaysia. Kementerian juga mengalu-alukan permohonan pencalonan tapak Ramsar yang baharu daripada Kerajaan Negeri memandangkan sebarang perancangan untuk membangunkan kawasan adalah tertakluk kepada pertimbangan kerajaan

negeri. Sebagai makluman bersama, kawasan tanah lembap di Malaysia mempunyai ciri-ciri unik yang berkepentingan antarabangsa dan mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi. Oleh yang demikian, secara tidak langsung ia telah meningkatkan imej negara sebagai negara yang prihatin terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan konservasi biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

Attachments