Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

19 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

114

Soalan

YB. Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid Bin Ibrahim [ Bandar Tun Razak ] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan statistik kemalangan dan kematian di tempat rekreasi dan riadah di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) mengikut lokasi dan negeri antara 2010 dan 2016 serta sebarang perancangan merangka satu sistem pengawasan dan garis panduan keselamatan pihak berkuasa bagi mengurangkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Terdapat 112 Hutan Lipur dan tujuh (7) Hutan Taman Negeri yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal dan diuruskan di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Bagi tempoh tujuh (7) tahun mulai tahun 2010 sehingga April 2016, terdapat 118 kes kemalangan yang berlaku di dalam kawasan hutan lipur dan hutan taman negeri dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dan daripada jumlah tersebut sebanyak 76 kes kematian telah direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pecahan statistik kemalangan yang berlaku dalam kawasan Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri adalah 55 kes lemas (46.6%), 30 kes sesat (25.4%), 21 kes terjatuh/tergelincir (17.8%), lapan (8) kes kepala air (6.8%) dan empat (4) kes ditimpa dahan/pokok (3.4%).

Di antara tindakan yang telah diambil oleh pihak Kementerian dalam menangani kes-kes kemalangan yang melibatkan kawasan hutan lipur dan hutan taman negeri adalah seperti berikut:

i) Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control-HIRARC);

ii) Penubuhan Pasukan Penyelamat Perhutanan di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pasukan Penyelamat Perhutanan (Pekeliling

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil. 11/2015);

iii) Pengurusan dan pemantauan pokok bahaya (Panduan Pengurusan Pokok Bahaya di Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri Semenanjung Malaysia);

iv) Pelaksanaan kaedah Communication, Education and Public Awareness (CEPA) bagi memberikan kesedaran dan ancaman bahaya dan risiko yang ada serta kepentingan pemeliharaan hutan kepada pengunjung;

v) Pemasangan Sistem Siren Kepala Air di beberapa lokasi yang berisiko tinggi sebagai amaran awal kepada pengunjung sekiranya berlaku kejadian kepala air di bahagian hulu sungai;

vi) Pemasangan papan tanda amaran di kawasan-kawasan bahaya dan berisiko tinggi;

vii) Pemasangan papan tanda peraturan dan keselamatan;

viii) Menyediakan khidmat jurupandu yang terlatih dan diiktiraf oleh jabatan; dan

ix) Meningkatkan kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sekian, terima kasih

Attachments