Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

134

Soalan

Dr. Mansor bin Abd Rahman [ Sik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah Kerajaan mempunyai alternatif dan peruntukan bagi mendapatkan sumber air bersih seperti sumber air bawah tanah dan sumber air laut bagi mengatasi kekurangan sumber air yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini. ini adalah kerana mengikut kajian paras air di setiap empangan akan menghadapi kekurangan yang berterusan disebabkan musim kemarau yang semakin kerap dan panjang.

Jawapan

Yang di-Pertua,

Sumber air tanah mempunyai potensi digunakan sebagai sumber bekalan alternatif di kawasan terpencil dan kawasan-kawasan bermasalah bekalan air seperti di kawasan pendalaman, kawasan tiada bekalan air terawat, kawasan sering mengalami gangguan bekalan air dan penempatan baru. Sumber ini boleh dibangun di kawasan-kawasan tersebut dengan kos yang rendah berbanding sumber air permukaan. Selain untuk bekalan air awam semasa kecemasan, sumber air tanah juga berpotensi dimajukan untuk tujuan pertanian, akuakultur dan industri. Penggunaan sumber air tanah adalah langkah awal bagi mengatasi masalah tersebut dan amat sesuai dibangunkan terutama dalam skala yang kecil.

Pihak NRE melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah menerima banyak permintaan daripada pelbagai agensi Kerajaan untuk mendapatkan sumber air tanah seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Lembaga Pertubuhan Peladang. Walaupun projek ini telah dijalankan dalam Rancangan Malaysia sebelum ini, banyak lagi kawasan-kawasan yang masih memerlukan bekalan air bersih, terutamanya semasa musim kemarau. 3

Pada masa ini peruntukan untuk mendapatkan sumber air tanah adalah menerusi projek pembangunan RMKe-11 di bawah Pembangunan Sumber Air Tanah Di Kawasan-Kawasan Bermasalah Bekalan yang diperuntukkan dengan kos projek sebanyak RM41 juta. Projek Air Tanah akan dilaksanakan di 13 buah negeri dimana 200 telaga tuib air tanah akan dibina dalam masa 5 tahun (2016-2020). Dalam tahun 2016, sebanyak 40 telaga tiub akan dibina.

Selain itu, melalui peruntukkan di bawah RMKe-11 juga, sejumlah RM27 juta telah diperuntukkan kepada JMG bagi melaksanakan kajian di lima (5) lembangan sungai iaitu Lembangan Sg. Muda, Kedah; Lembangan Sg. Selangor, Selangor; Lembangan Sg. Pahang, Pahang; Lembangan Sg. Baram, Sarawak dan Lembangan Sg. Kedamaian, Sabah. Melalui kajian ini, ciri-ciri akuifer serta rizab air tanah dapat ditentukan dengan lebih tepat demi memaksimakan serta merancang pembangunan dan penggunaan air tanah di kawasan-kawasan berkenaan dengan lebih sistematik dan lestari.

Sekian,

Attachments