Tuan Yang di-Pertua,
Bagi menangani cuaca panas dan kering, Kementerian dan setiap agensi yang terlibat mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan. Antara tindakan yang diambil adalah:
a) Mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara mulai 12 Januari 2016.
b) Pemantauan rapi ke atas kawasan tanah gambut yang sering terbakar melalui pengaktifan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar;
c) Penguatkuasaan semasa musim panas dan kering dipertingkatkan ke atas punca-punca pencemaran udara yang lain iaitu pelepasan asap dari kenderaan bermotor, pelepasan habuk dari kerja-kerja tanah dan pelepasan asap dari premis industri; dan
d) Pemantauan melalui udara (aerial surveillance) dilaksanakan bagi mencegah kebakaran hutan terutama di kawasan sering terbakar dan kawasan pedalaman yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Di peringkat serantau, Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Ke-18 "ASEAN Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution" yang telah berlangsung di Singapura
pada 4 Mei 2016. Malaysia berserta negara-negara sub-serantau lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand mengulangi komitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama serantau bagi mencegah jerebu merentas sempadan . Ini termasuk kerjasama bilateral Malaysia dan Indonesia secara "Government-to-Government" di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Mengenai pemberian percuma topeng N95 kepada rakyat ketika berlaku jerebu, Kerajaan perlu mengkaji keupayaan untuk berbuat demikian kerana melibatkan bilangan penduduk yang ramai dan perbelanjaan yang besar. Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa memberi maklumat awal dari segi penjagaan kesihatan kepada rakyat ketika berlakunya kejadian jerebu.
Sekian, terima kasih