Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

57

Soalan

YB DATO’ NORAINI AHMAD [ PARIT SULONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan perancangan Kementerian dalam pembinaan upaya di dalam memelihara dan memulihara biodiversiti di Malaysia khususnya di dalam memenuhi komitmen Kementerian dalam COP21 ke atas isu pemanasan global.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa menjadikan pembangunan kapasiti (capacity building) sebagai salah satu agenda utama Kerajaan dalam memperkasakan dan meningkatkan keupayaan terutamanya bagi pegawai-pegawai Kementerian dan Agensi yang terlibat di dalam pelaksanaan program/aktiviti berkaitan alam sekitar, biodiversiti dan perubahan iklim. Pembangunan kapasiti dilaksanakan melalui bantuan luar dan dalam negara melalui peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

Paris Agreement yang telah dipersetujui oleh 195 negara pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) pada 12 Disember 2016 antara lainnya menggariskan kepentingan pembangunan kapasiti sebagai salah satu langkah untuk menangani kesan perubahan iklim terutamanya bagi negara-negara membangun (developing countries). Peningkatan pembangunan kapasiti boleh dicapai melalui penglibatan antarabangsa negara di peringkat rantau (regional), hubungan dua hala (bilateral), dan pelbagai hala (multilateral). Di dalam hubungan ini, Malaysia akan terus aktif di dalam aktiviti di peringkat rantau seperti ASEAN, meningkatkan kerjasama dua hala dengan negara-negara lain, dan meningkatkan penglibatan di dalam hubungan pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi pelaksana di bawahnya.

Di peringkat tempatan, pembangunan kapasiti berkaitan alam sekitar, biodiversiti dan perubahan iklim dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan agensi di bawahnya melalui pelaksanaan program dan aktiviti di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Selain pembangunan kapasiti bagi pegawai-pegawai Kementerian dan agensi, terdapat juga aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) yang dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.

Attachments