Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

1

Soalan

Datuk Raime bin Unggi [ Tenom ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk membuat semakan semula terhadap hukuman terhadap individu yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar.

Jawapan

JAWAPAN :

Tuan Yang di - Pertua,

Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar sentiasa membuat semakan terhadap peraturan dan hukuman bagi mana-mana pihak yang melanggar peruntukan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pindaan terkini Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA)1974 pada tahun 2012 bertujuan untuk memperkukuh, memantap dan pelaksanaan kerja penguatkuasaan yang lebih efektif. Satu elemen yang diberi penekanan adalah peruntukan denda yang optima selaras dengan kewujudan green court bagi menunjukkan kesalahan mencemarkan alam sekitar adalah merupakan kesalahan yang serius. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Kesalahan berkaitan laporan mengenai kesan alam sekeliling (EIA) akibat aktiviti yang ditetapkan di bawah Seksyen 34A dinaikkan dari RM100,000.00 kepada RM500,000.00.

2. Kesalahan melanggar perintah larangan bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Seksyen 34AA dikenakan denda maksima sebanyak RM500,000.00 atau 5 tahun atau kedua-duanya sekali serta RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Dalam cadangan pindaan terbaru EQA, semakan hukuman terhadap individu yang melanggar EQA juga diberi perhatian utama iaitu: 3

 

1. Memasukkan denda minimum bagi setiap hukuman dalam EQA seperti kesalahan melepaskan efluen ke perairan daratan ialah antara RM25,000.00 hingga RM100,000.00.

2. Peningkatan denda maksimum bagi beberapa kesalahan di bawah EQA seperti kesalahan melepaskan minyak kedalam perairan Malaysia, Seksyen 27 dari RM500,000.00 kepada RM 1 juta, tidak mematuhi syarat-syarat lesen premis yang ditetapkan, Seksyen 16 dari RM25,000.00 kepada RM100,000.00 dan menggunakan premis yang ditetapkan tanpa lesen di bawah Seksyen 18 dari RM50,000.00 kepada RM100,000.00.

3. Peningkatan kadar tawaran kompaun dari RM2,000.00 kepada 50 peratus dari denda maksimum kesalahan tersebut.

Selain daripada hukuman denda (yang dikenakan setelah kesalahan telah dilakukan), Jabatan juga memasukkan elemen-elemen pencegahan di dalam peruntukan peraturan di bawah EQA di mana pemantauan prestasi ke atas alat-alat kawalan pencemaran di premis turut diwajibkan melalui keperluan adanya Orang Berwibawa (Competent Person) yang dipersijilkan oleh JAS. Orang Berwibawa akan bertanggungjawab memastikan setiap unit proses dan unit operasi sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan baik dan sempurna pada setiap masa bagi mengawal pencemaran dan memastikan setiap pelepasan mematuhi had pelepasan yang telah ditetapkan oleh JAS. 4

Selain itu, laporan-laporan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) juga perlu disediakan oleh Orang Yang Layak (Qualified Person) yang berdaftar dengan JAS mengikut garispanduan-garispanduan yang telah ditetapkan oleh JAS.

Kedua-dua "Competent Person" dan "Qualified Person" ini adalah tertakluk kepada satu peraturan yang akan digubal kelak dan dikawal di bawah "Code of Ethics" yang telah ditetapkan bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang dibekalkan agar ianya tidak akan menjejaskan kualiti alam sekitar.

Ini merupakan pendekatan "Guided Self-Regulation" yang diterapkan oleh JAS kepada semua industri bagi memastikan alam sekitar terpelihara.

Dalam pada masa yang sama, semakan terhadap peruntukan peraturan di bawah EQA masih diteruskan dari masa ke semasa bagi mencegah pencemaran dan meningkatkan kualiti alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

Attachments