Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

152

Soalan

YB. Dr. Che Rosli Bin Che Mat [ Hulu Langat ] Minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan kejayaan Cemerlang Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam penyelidikan Perkayuan dan Perhutanan yang mengharumkan nama Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

Kejayaan dan sumbangan ulung FRIM dalam bidang penyelidikan perkayuan dan perhutanan yang mengharumkan nama negara antaranya adalah:

i. Penyelidikan ke atas kayu getah yang berjaya menjadikannya sebagai sumber bahan mentah alternatif kepada industri perabot negara, sekaligus meningkatkan jumlah eksport perabot daripada RM58 juta pada tahun 1988 kepada RM6.4 billion pada tahun 2014. Melalui penyelidikan ini, kayu getah menjadi sumber bahan mentah yang paling dikehendaki oleh industri perabot negara;

ii. Penyelidikan ke atas batang kelapa sawit telah berjaya menghasilkan pelbagai produk seperti panel, kertas dan pulpa, kompos dari batang dan tandan kosong kelapa sawit;

iii. Penyelidikan ke atas tumbuhan herba yang berpotensi dikomersialkan telah dilaksanakan secara usahasama dengan syarikat yang berminat. Sebagai contoh, terdapat 17 produk yang telah dikomersialkan daripada ekstrak piawai/prototaip, 36 produk prototaip antaranya teh, kapsul herba serta makanan anti oksida, koleksi minyak pati daripada 160 spesies serta 31 ekstrak piawai tumbuhan ubatan; ​

iv. Projek hutan paya gambut negara yang dilaksanakan pada 2002 hingga 2008 berjaya menghasilkan satu pelan pembangunan bersepadu Taman Negara Logan Bunut di Sarawak;

v. Penyelidikan komposit kayu pula terarah kepada penggunaan maksimum bahan lignoselulosa bagi penghasilan produk industri hiliran kayu kayan. Penyelidikan ini tertumpu kepada meningkatkan mutu produk panel untuk memenuhi standard ISO dan negara pengimport seperti Jepun (JAS/JIS), Eropah (CE Marking) dan USA (Carb);

vi. Perkhidmatan teknikal contohnya ujian komposit kayu, yang mana makmalnya telah mendapat pensijilan ISO 9001:2000 dan ISO 17025 bagi membolehkan analisa dari makmal ini diperakui oleh Standard Malaysia dan negara-negara di bawah perjanjian antarabangsa;

vii. Usaha FRIM dalam mendokumentasikan flora di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak tahun 1960-an;

viii. Pendokumentasian pengetahuan tradisi orang asli berkaitan tumbuhan ubatan di Semenanjung;

ix. Pendokumentasian penggunaan tumbuhan ubatan dalam pengamalan perubatan Melayu;

x. Penyelidikan untuk memulihara kawasan mud-flat dengan penggunaan teknik penanaman yang sesuai. FRIM telah memperkenalkan Teknik Comp-Mat sebagai kaedah penanaman terbaik untuk spesies bakau dengan kadar kemandirian yang tinggi. Penyelidikan ini turut membantu mengurangkan fenomena hakisan pantai negara yang serius; dan

xi. Penghasilan teknologi baru bagi pengeringan kayu iaitu, High Temperature Drying (HTD) yang boleh memendekkan tempoh pengeringan kayu daripada dua (2) minggu ke tiga (3) hari bagi penghasilan produk kayu bebas rawatan kimia.

Sekian, terima kasih.

Attachments