Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

16

Soalan

Dato' Fauzi bin Abdul Rahman [ Indera Mahkota ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sama ada Majlis Tanah Negara dan Majlis Hutan Negara yang kedua-duanya dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri masih wujud dan berfungsi atau sebaliknya. Jika masih wujud dan berfungsi, nyatakan kekerapan mesyuarat dari awal 2014 hingga kini dan nyatakan keputusan-keputusan yang signifikan yang telah diputuskan oleh setiap Majlis ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Majlis Perhutanan Negara (MPN) dan Majlis Mineral Negara (MMN) telah digabungkan di dalam Majlis Tanah Negara (MTN) seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November 2009 dan dipersetujui oleh Mesyuarat ke-65 Majlis Tanah Negara yang bersidang pada 4 Disember 2009.

Cadangan penggabungan ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan dan fungsi Menteri di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969. Penggabungan fungsi-fungsi MPN dan MMN ke dalam MTN juga dilihat sebagai satu langkah strategik NRE dalam penambahbaikan sistem penyampaian dan bagi memenuhi pencapaian misi dan visinya.

MTN masih wujud dan seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan bersidang sekali setiap tahun sejak tahun 2014. Antara keputusan-keputusan signifikan yang telah diputuskan adalah seperti:

(i) Impak Aktiviti Perlombongan dan Pengkuarian Terhadap Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di Semenanjung Malaysia;

(ii) Penyeragaman Prosedur Pengeluaran Permit Ruang Udara Yang Terlibat Dalam Permohonan Hakmilik Strata;

3

 

(iii) Cadangan Untuk Mengatasi Masalah Industri-Industri Berasas Kayu Yang Beroperasi Tanpa Lesen Perhutanan Di Semenanjung;

(iv) Rang Undang-undang Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 dan Pindaan Jadual-jadual Berkaitan Melalui Perintah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar;

(v) Rang Undang-Undang Meminda Akta Hakmilik Strata (2016) dan Pindaan Jadual dan Borang Berkaitan Melalui Perintah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar; dan

(vi) Rang Undang-Undang Meminda Akta Pengambilan Tanah (2016) dan Pindaan Kaedah Pengambilan Tanah (Pindaan Borang-Borang) 2016.

Majlis Tanah Negara (MTN) diwujudkan selaras dengan Perkara 91(3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya mesyuarat MTN hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-Menteri Besar bagi membincangkan berkenaan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan dan lain-lain dalam usaha meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran tanah negara.

Majlis Perhutanan Negara (MPN) ditubuhkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-22 pada 20 Disember 1997 untuk membolehkan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mengadakan perundingan dari semasa ke semasa supaya semua isu berkaitan dengan dasar, 4

pentadbiran dan pengurusan perhutanan dapat diselaraskan dan diselesaikan selaras dengan kepentingan nasional. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Ke-66 MTN pada tahun 2011 telah menggabungkan semula Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara (MMN) bagi membincangkan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perkara-perkara berkaitan pentadbiran tanah, isu-isu perlombongan dan perhutanan.

Antara keputusan signifikan yang telah dibuat dalam Mesyuarat MTN berkaitan sektor perhutanan pada tahun 2014 dan 2015 adalah :

(i) Kerajaan-kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam kawasan HSK;

(ii) Pemantauan status pewartaan kawasan hutan tanah kerajaan sebagai HSK;

(iii) Kelulusan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke -11 (RMKe-11) iaitu untuk tahun 2016-2020;

(iv) Pemantauan pelaksanaan pematuhan CTT bagi negeri-negeri di Malaysia;

(v) Kerajaan-kerajaan Negeri melanjutkan pengecualian bayaran royalti ke atas pengeluaran kayu getah, batang kelapa sawit dan batang kelapa dari kawasan tanah berimilik sehingga 31 Disember 2016; ​

(vi) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengkaji semula kadar royalti ke atas pengeluaran kayu getah, batang kelapa sawit dan batang kelapa dari kawasan Tanah Berimilik;

(vii) Langkah-langkah untuk menangani Industri Berasas Kayu yang beroperasi tanpa lesen Perhutanan.

Sekian, terima kasih.

Attachments