Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

28

Soalan

Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan Sempena Hari Bumi Sedunia, apakah polisi semasa Malaysia terhadap bahan buangan toksik dan berbahaya (Buangan Terjadual) serta perancangan untuk Malaysia bebas daripada penggunaan bahan-bahan yang tidak boleh dikitar semula.

Jawapan

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Hari Bumi diraikan pada 22 April setiap tahun sejak 46 tahun yang lalu di seluruh dunia sebagai usaha menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran awam untuk melindungi bumi dan alam sekitar. Pelbagai langkah diambil dalam dalam menangani permasalahan alam sekitar agar kesihatan dan kualiti persekitaran kita terpelihara untuk penggunaan generasi masa kini dan generasi akan datang. Salah satu langkah yang penting dalam usaha ini adalah memastikan pengurusan buangan toksik dan berbahaya diuruskan dengan teratur dan sempurna supaya bumi kita dapat dipelihara dari sebarang kesan mudarat akibat dari pengurusan buangan toksik dan berbahaya yang tidak terkawal.

Pengurusan buangan toksik dan berbahaya atau dikenali sebagai buangan terjadual di Malaysia adalah berdasarkan prinsip ‘cradle to grave’ dan juga "cradle to cradle’. Buangan terjadual perlu diuruskan dengan sempurna dan teratur di semua peringkat bermula dari ianya dijana di premis pengeluar, disimpan, digunakan semula, atau dihantar ke premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk diperoleh kembali atau dilupuskan di tapak pelupusan selamat. 3

Polisi pengurusan buangan terjadual, antaranya adalah:

i. Menggalakkan industri untuk mengamalkan prinsip Pengeluaran Bersih dalam pengeluaran produk/ servis & perkhidmatan dengan penggunaan bahan mentah yang dapat meminimakan penghasilan buangan terjadual .

ii. Pihak pengeluar buangan dikehendaki mengamalkan prinsip 3R (Reuse, Recycle dan Recover) seboleh mungkin untuk, mengguna semula, mengitar semula atau memperoleh buangan terjadual yang telah dijana selaras dengan prinsip "cradle to cradle" dan yang demikian, dapat mengelakkan buangan terjadual dari dilupuskan di Tapak Pelupusan Selamat.

iii. Buangan terjadual yang tiada nilai untuk diguna semula, dikitar semula atau diperoleh kembali hendaklah diolah terlebih dahulu sebelum dilupuskan di Tapak Pelupusan Selamat yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar selaras dengan prinsip "cradle to grave".

iv. Mengalakkan pihak pengeluar buangan untuk meneroka opsyen-opsyen baru bagi mengguna semula buangan terjadual sebagai bahan mentah alternatif untuk menghasilkan produk atau sebagai bahan bakar alternatif bagi menghasilkan tenaga dan dapat menjadikan sektor buangan lebih kompetitif dan berupaya menjana ekonomi negara. ​

v. Lesen pengangkut buangan terjadual hanya dikeluarkan kepada pihak/ pemilik kilang fasiliti kitar semula atau pemerolehan kembali atau pelupusan buangan terjadual ;

vi. Malaysia tidak membenarkan pengimportan buangan terjadual ke dalam negara bagi tujuan pelupusan;

vii. Pengeksportan buangan terjadual ke luar negara tidak dibenarkan sekiranya telah ada fasiliti/ kemudahan dalam Negara yang berupaya merawat buangan terjadual tersebut

viii. Menggalakkan latihan dan kompetensi pegawai JAS, industri dan pihak berkepentingan dalam pengurusan buangan terjadual.

ix. Perkongsian pintar dengan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklumat/kaedah/pengetahuan/pengalaman mengenai pengurusan buangan terjadual

Tuan Yang di-Pertua, sejajar dengan perkembangan industri, penggunaan bahan kimia yang akan menghasilkan buangan terjadual yang tidak boleh dikitar semula tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Adalah penting semasa di peringkat awal lagi, pihak industri untuk membuat pilihan bahan mentah yang akan digunakan dalam proses pengeluaran produk samada penggunaan bahan kimia tertentu akan dapat menghindarkan, mengurangkan, meningkatkan penghasilan buangan terjadual atau 5

penggunaannya akan menghasilkan buangan terjadual yang boleh diguna semula, dikitar semula dan diperoleh kembali ataupun sebaliknya.

Dalam hubungan ini, pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar mengambil pendekatan menggalakkan industri untuk mengamalkan prinsip Pengeluaran Bersih dengan penggunaan bahan mentah yang dapat meminimakan penghasilan buangan terjadual dan mempunyai nilai untuk diguna semula, dikitar semula atau diperoleh kembali. Selain dari itu, pihak Kementerian juga sedang mengkaji keperluan mengadakan peruntukan undang-undang yang menghendaki pengeluar buangan untuk mengamalkan prinsip 4R (Reduce, Reuse, Recycle dan Recover) dalam proses pengeluaran produk/ servis & perkhidmatan dan pengurusan buangan terjadual.

Sekian, terima kasih.

Attachments