Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

2

Soalan

YB TUAN SU KEONG SIONG [ IPOH TIMOR ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan rancangan jangkamasa panjang untuk mengatasi masalah-masalah perubahan iklim (climate change). Adakah Kerajaan mempunyai sebarang rancangan untuk menjadikan negara Malaysia Zero Carbon Nation menjelang tahun 2030.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Antara hasil utama Persidangan Ke-21 Negara Pihak Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) adalah Paris Agreement yang telah dipersetujui pada 12 Disember 2015.

Antara tindakan susulan yang perlu dilaksanakan oleh semua negara Pihak selepas persidangan tersebut adalah menyediakan pelan tindakan perubahan iklim yang dinamakan Nationally Determined Contributions (NDC) setiap 5 tahun sekali. NDC merupakan sumbangan negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Malaysia telah mengemukakan NDC pertamanya kepada UNFCCC pada 27 November 2015.

Melalui NDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030 berasaskan intensiti pelepasan pada tahun 2005. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian dan Agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di bawah sektor-sektor utama GHG negara separti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian. Inisiatif-inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG di dalam NDC negara.

Pada masa ini, Kerajaan masih tiada sebarang perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘zero carbon nation’. Proses transformasi negara ke arah sifar karbon memerlukan kekuatan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi, infrastruktur, dan sosial. Sebagai contohnya, peralihan sumber ekonomi negara daripada teras pengeluaran kepada teras perkhidmatan memerlukan pelaburan, teknologi dan kapasiti yang tinggi. Proses peralihan tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat dan selari dengan rancangan pembangunan negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments