Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

26 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

18

Soalan

YB. DR. TAN SENG GIAW [ KEPONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan peratusan tanah hutan dalam negara dan langkah untuk memeliharanya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Sehingga Disember 2014 kawasan berhutan di Malaysia merangkumi 18.27 juta hektar atau 55.32% daripada jumlah keluasan tanah seluas 33.018 juta hektar. Daripada jumlah ini, seluas 12.9 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan 1.45 juta hektar sebagai kawasan perlindungan. Kawasan HSK ini diurus melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Kementerian sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan. Di antara inisiatif yang dilaksanakan dalam menjayakan komitmen ini adalah seperti berikut:

(i) mengekalkan pewartaan kawasan Hutan Simpanan Kekal sedia ada untuk diurus melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan bagi faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar untuk kepentingan rakyat dan negara;

(ii) mewartakan kawasan cadangan Hutan Simpanan Kekal yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai hutan simpanan kekal;

 

(iii) mewartakan kawasan-kawasan tanah kerajaan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal;

(iv) menggantikan mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah dikeluarkan/dimansuhkan dengan kawasan hutan lain yang lebih kurang sama keluasannya;

(v) meningkatkan kualiti kawasan Hutan Simpanan Kekal melalui aktiviti restorasi dan pemuliharaan kawasan hutan terosot;

(vi) melaksanakan aktiviti pemeliharaan in-situ dan ex-situ terutamanya bagi spesies flora yang Endangered, Rare and Threatened (ERT);

(vii) memperkemaskan mekanisma penguatkuasaan hutan melalui program National Blue Ocean Strategy (NBOS) seperti 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) dan Centralised Enforcement Team (CET), penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JPSM Elite Team) dan penggunaan teknologi dan peralatan terkini seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Geographical Information System (GIS), Hyperspectral sensors dan Global Positioning System (GPS) semasa menjalankan aktiviti penguatkuasaaan hutan dan pemantauan pencerobohan hutan; dan

(viii) mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam perhutanan.

Sekian, terima kasih.

Attachments