Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

26 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

38

Soalan

YB. Dato' Noraini Binti Ahmad [ Parit Sulong ] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan bagaimanakah Kementerian secara NBOS boleh bekerjasama membantu dan membela doktor-doktor haiwan yang bertugas di Jabatan PERHILITAN yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang haiwan liar terutama yang hampir pupus.

Jawapan

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) amat prihatin atas pengalaman dan kepakaran dalam bidang hidupan liar yang dimiliki oleh doktor veterinar yang bertugas di Jabatan PERHILITAN. Buat masa ini, Jabatan PERHILITAN mempunyai 25 perjawatan kader untuk Skim Perkhidmatan Veterinar iaitu 15 Pegawai Veterinar dan 10 Penolong Pegawai Veterinar di mana Ketua Perkhidmatan bagi skim ini ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.

Pegawai-pegawai Veterinar ini ditempatkan di Pusat-pusat Konservasi Hidupan Liar, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan serta Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan. Walaupun pada mulanya pegawai-pegawai yang ditempatkan tidak mempunyai pengalaman serta kepakaran di dalam bidang hidupan liar, namun atas sokongan serta peluang yang diberikan, ada di antara doktor veterinar ini telah menjadi pakar veterinar kepada spesies-spesies hidupan liar tertentu seperti harimau, tapir dan gajah. Tugas dan peranan doktor veterinar hidupan liar adalah unik dan tidak sama dengan perkhidmatan veterinar haiwan ternakan atau haiwan peliharaan. 3

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi menjamin negara tidak kehilangan kepakaran doktor veterinar dalam bidang hidupan liar, pihak Kementerian akan mencadangkan agar diwujudkan gred flexi untuk skim perkhidmatan Pegawai Veterinar iaitu gred G48/G52 dan G54 serta jawatan pakar bidang, iaitu Subject Matter Expert (SME) di Jabatan PERHILITAN berdasarkan kepada kecemerlangan dalam tugas dan tempoh perkhidmatan mereka. Buat masa ini hanya gred flexi G41/G44 telah diwujudkan. Selain itu, pegawai-pegawai tersebut juga akan menikmati kemudahan bayaran elaun insentif risiko sama seperti skim Pegawai Hidupan Liar selain diberikan peluang untuk mengikuti latihan di dalam dan luar negara. Walau bagaimanapun, cadangan ini akan melibatkan pengukuhan struktur organisasi yang melibatkan penambahan skim perkhidmatan dan jawatan veterinar kepada Jabatan PERHILITAN pada masa akan datang. Cadangan tersebut juga adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sekian, terima kasih.

Attachments