Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

26 May 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

120

Soalan

YB TUAN SHAMSUL ISKANDAR BIN MOHD AKIN [ BUKIT KATIL ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah-langkah yang sedang dan telah diambil oleh Kementerian, susulan daripada Perjanjian Paris (COP 21) dan apakah strategi khusus Kementerian untuk mengurangkan kesan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Antara hasil utama Persidangan Ke-21 Negara Pihak Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) adalah Paris Agreement yang telah dipersetujui pada 12 Disember 2015. Malaysia telah menandatangani Paris Agreement pada 22 April 2016 di New York, Amerika Syarikat. Selepas proses tandatangan, Malaysia kini dalam proses perancangan bagi melaksanakan obligasi dan komitmen yang dipersetujui sebelum meratifikasikan perjanjian tersebut. Antara tindakan susulan lain yang perlu dilaksanakan adalah menyediakan pelan tindakan perubahan iklim jangka masa panjang yang dinamakan Nationally Determined Contributions (NDC) setiap 5 tahun sekali. NDC merupakan sumbangan negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Malaysia telah mengemukakan NDC pertamanya kepada UNFCCC pada 27 November 2015.

Melalui NDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030 berasaskan intensiti pelepasan pada tahun 2005. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian dan Agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di bawah sektor-sektor utama GHG negara seperti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian. Inisiatif-inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG di dalam NDC negara. Bagi tujuan ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengadakan beberapa siri bengkel dan mesyuarat bersama Kementerian dan Agensi Kerajaan Pusat, Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membincangkan mengenai Paris Agreement dan pelaksanaan NDC Negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments