Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

111

Soalan

YB TUAN KHOO SOO SEANG [ TEBRAU ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan:

(a) apakah perkembangan dan perancangan Kementerian untuk melanjutkan program MYCarbon; dan

(b) apakah faktor-faktor yang dikenal pasti oleh Kementerian ke atas industri yang tidak berupaya melaksanakan usaha pengurangan pelepasan karbon walaupun program tersebut menawarkan pemberian insentif atau pengecualian cukai.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah melaksanakan fasa perintis Program Pelaporan Gas Rumah Kaca Kebangsaan (MYCarbon) daripada tahun 2013 sehingga tahun 2015. Pembiayaan program tersebut adalah melalui peruntukan daripada pihak United Nations Development Program (UNDP) Malaysia. Sepanjang pelaksanaan program tersebut, 54 organisasi swasta yang terdiri daripada pelbagai sektor pengeluaran dan perkhidmatan telah menyertai program ini. Pencapaian ini adalah melebihi sasaran awal 3 organisasi swasta yang ditetapkan semasa awal perancangan projek.

Pada tahun 2016 dan seterusnya, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan meneruskan pelaksanaan program tersebut memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada sektor swasta. Pemberian insentif cukai program tersebut adalah untuk menggalakkan pelaporan pelepasan gas rumah kaca (GHG) secara sukarela oleh organisasi tersebut dan tidak berkaitan dengan usaha pengurangan pelepasan GHG. Walaubagaimanapun, pelaporan GHG yang baik dapat membantu organisasi tersebut membuat perancangan dan pelaburan perniagaan yang lebih baik seperti penggunaan teknologi hijau seperti sumber tenaga boleh baharu (renewable energy) dan kecekapan tenaga (energy efficiency). Secara umumnya, antara faktor yang dikenal pasti di kalangan organisasi swasta untuk membuat pelaburan dalam penggunaan teknologi hijau

adalah tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat yang mencukupi mengenai faedah dan manfaat teknologi hijau dalam perniagaan.

Sekian, terima kasih.

Attachments